
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah (Wilayah 4) merampas 11.06 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai lebih RM550,000 di perairan Kampung Terusan Hujung, Pulau Bum Bum, dekat sini awal Selasa.
Komander PPM Sabah (Wilayah 4) ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata rampasan dibuat pada 1.45 pagi selepas pihaknya mengesan sebuah bot laju berdasarkan maklumat risikan mengenai kegiatan pengedaran dadah.
“Ketika anggota kami menghampirinya, seorang lelaki di dalam bot terjun ke laut dan melarikan diri ke arah pantai.
“Pemeriksaan terhadap bot itu menemukan 11 bungkusan dadah dipercayai syabu,” katanya, Selasa.
Beliau berkata jumlah nilai rampasan termasuk bot laju berkenaan dianggarkan lebih RM578,000, sambil menambah kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ahmad Amri berkata PPM Sabah Wilayah 4 merekodkan 15 kes mengikut akta berkenaan setakat tahun ini, membabitkan 24 tangkapan dan jumlah rampasan bernilai lebih RM718,000.
Beliau berkata PPM Sabah Wilayah 4 akan terus mempergiat risikan dan rondaan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.






