Rampasan AKPS melonjak hampir empat kali ganda, cecah RM322 juta

LocalPolitics
26 Nov 2026 • 10:31 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Rampasan AKPS melonjak hampir empat kali ganda, cecah RM322 juta

SHAH ALAM, 26 NOV: Nilai rampasan menerusi penguatkuasaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) melonjak hampir empat kali ganda kepada RM322.74 juta sehingga Oktober tahun ini, berbanding RM82.10 juta pada 2025.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pencapaian itu merangkumi 16,357 kes penguatkuasaan dengan sumbangan ketara sektor biosekuriti bernilai RM72.05 juta serta sektor kastam dan percukaian (RM50.84 juta).

Antara pintu masuk yang mencatat nilai rampasan ketara ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (RM21.37 juta), Pelabuhan Pulau Pinang (RM7.14 juta) dan ICQS Bukit Kayu Hitam (RM3.62 juta).

“Keberkesanan kawalan dan pemeriksaan bersepadu AKPS terbukti menerusi lonjakan prestasi penguatkuasaan yang ketara.

“Keseluruhan pencapaian ini membuktikan penubuhan AKPS bukan sekadar satu penstrukturan semula pentadbiran, malah reformasi institusi yang berimpak tinggi dalam memperkukuh keselamatan sempadan, memudah cara perdagangan serta pelancongan dan melindungi hasil negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis kepada soalan lisan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail di Dewan Rakyat semalam, lapor Berita Harian.

Saifuddin berkata AKPS yang memulakan operasi secara rintis di ICQS Rantau Panjang pada 1 Januari 2025 kini menerajui kawalan di 123 pintu masuk aktif darat, udara dan laut seluruh negara.

Agensi itu turut menyatukan fungsi pemeriksaan dan penguatkuasaan enam agensi teras di bawah satu rantaian perintah, selain mempertingkat kecekapan pemeriksaan penumpang serta barangan menerusi integrasi teknologi.

Sementara itu, Operasi Task Force Saringan 100 Peratus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari 10 Ogos hingga 13 November lalu berjaya menumpaskan 16 kes penyeludupan dadah bernilai RM34.89 juta dengan berat keseluruhan 436.66 kilogram.

Dalam aspek integriti pula, seramai 27 pegawai dikenakan tindakan tegas berhubung sindiket ‘counter setting’ dan ‘flying passport’ sehingga November tahun ini dengan 19 dibuang kerja manakala lapan lagi ditahan kerja susulan pertuduhan di mahkamah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved