Rangka dalam tong sah milik manusia – Polis

15 Sep 2026 • 2:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rangka dalam tong sah milik manusia – Polis

MELAKA: Polis mengesahkan rangka yang ditemukan dalam sebuah tong di kawasan Empangan Durian Tunggal, di sini Ahad lalu adalah rangka manusia.

Ia berdasarkan laporan bedah siasat pertama yang dijalankan terhadap penemuan tersebut semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, pemeriksaan post-mortem memasuki hari kedua hari ini adalah bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung identiti serta punca kematian mangsa.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut oleh pakar forensik masih dijalankan bagi mengenal pasti maklumat penting berkaitan rangka berkenaan, termasuk jantina, anggaran usia dan tempoh kematian.

“Post-mortem mengesahkan ia adalah rangka manusia. Pemeriksaan bedah siasat diteruskan pagi ini untuk hari kedua dan kita masih menunggu hasil lengkap daripada pihak forensik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, rangka berkenaan ditemukan bersama beberapa helai pakaian dipercayai milik mangsa, iaitu kain pelekat berwarna biru, kemeja-T dan seluar pendek.

Katanya, penemuan pakaian tersebut kini turut menjadi antara petunjuk yang diteliti pihak polis dalam usaha mengenal pasti identiti mangsa.

“Setakat ini, pakaian yang ditemukan bersama rangka adalah kain pelekat warna biru, kemeja-T dan seluar pendek,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan pihaknya belum dapat mengesahkan identiti mangsa atau mengaitkan penemuan itu dengan mana-mana laporan orang hilang.

Menurutnya, polis sedang meneliti semua kemungkinan serta maklumat yang diperoleh daripada lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan forensik sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Sebelum ini, media melaporkan penemuan sebuah tong berwarna biru yang dipercayai mengandungi rangka manusia di kawasan rizab Empangan Durian Tunggal, Ahad lalu.

Penemuan itu dibuat selepas tiga pemancing yang berada di kawasan berkenaan menyedari kewujudan tong tersebut dalam keadaan mencurigakan sebelum memaklumkannya kepada pihak berkuasa. – UTUSAN

The post Rangka dalam tong sah milik manusia – Polis appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved