
ALOR GAJAH – Rangka yang ditemukan dalam sebuah tong dram bersimen di kawasan Empangan Durian Tunggal di sini, kelmarin disahkan sebagai rangka manusia.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, hasil bedah siasat mendapati turut bersama rangka adalah pakaian terdiri daripada kain pelekat berwarna biru, kemeja T dan seluar pendek.
Menurutnya, kes itu kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Bedah siasat mengesahkan rangka tersebut adalah rangka manusia. Kita juga menemukan pakaian iaitu kain pelekat warna biru, baju-T dan seluar pendek.
“Kes ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Ahmad berkata, pihaknya kini sedang menjalankan usaha mengenal pasti identiti mangsa termasuk jantina dan maklumat lanjut berkaitan penemuan berkenaan.
Terdahulu, Kosmo! kelmarin melaporkan aktiviti tiga lelaki memancing di kolam tadahan air Empangan Durian Tunggal bertukar gempar selepas mereka menemukan rangka dipercayai manusia di dalam sebuah tong dram bersimen kira-kira pukul 11.40 pagi.
Ahmad sebelum ini berkata, pemeriksaan awal pasukan forensik menemukan rangka atau tulang dipercayai manusia di dalam tong berkenaan selepas ia diperiksa oleh pemancing terbabit.
Katanya, tong dram itu ditemukan kira-kira 15 meter dari jalan utama sebelum pihak bomba membantu mengangkatnya keluar dari kawasan berkenaan untuk pemeriksaan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Rangka dalam tong simen : Sah milik manusia, kes disiasat bunuh appeared first on Kosmo Online.






