Rangka garis panduan pembangunan sekitar stesen LRT agar sistematik, mesra pengguna

4 Jul 2025 • 5:32 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

Oleh: Dewi Abdul Rahman

SHAH ALAM, 4 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah merangka Garis Panduan Reka Bentuk Bandar Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) sebagai salah satu inisiatif jangka panjang bagi memastikan pembangunan di sekitar kawasan stesen LRT dilaksanakan secara sistematik, menyeluruh dan mesra pengguna.

EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata, garis panduan itu merangkumi cadangan intervensi pembangunan yang memberi tumpuan kepada peningkatan mobiliti, akses pejalan kaki serta kemudahan sambungan antara mod pengangkutan dan pelaksanaannya mengambil kira keperluan semasa termasuk kemampuan kewangan.

“MBSA kini sedang membangunkan Pelan Mobiliti Shah Alam yang memberi fokus terhadap kawasan strategik seperti Glenmarie (Seksyen U1), yang terlibat secara langsung dengan pembangunan pengangkutan awam berskala besar.

“Pelan ini akan menjadi panduan penting dalam usaha menambah baik kemudahcapaian ke stesen pengangkutan awam serta menyediakan laluan lebih selamat dan efisien kepada pengguna, termasuk pejalan kaki dan penunggang basikal,” katanya.

image is not available
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han pada majlis sambutan perayaan Wesak peringkat Selangor 2025, di Maha Karuna Vihara Seksyen U17 Shah Alam, pada 20 April 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR.

Beliau mengulas mengenai kejadian beberapa kenderaan yang diletakkan di bahu jalan berhampiran Stesen LRT Glenmarie dilanggar lori baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya menerima lapan laporan polis berhubung kejadian itu.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata MBSA dengan kerjasama Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang merangka pelan cadangan laluan bas perantara untuk LRT3, yang akan menghubungkan kawasan sekitar dengan stesen LRT apabila perkhidmatan itu beroperasi sepenuhnya kelak.

“Ketika ini, kawasan Glenmarie mula dihubungkan secara berperingkat menerusi perkhidmatan Demand-Responsive Transit (DRT) oleh Rapid KL, bagi menyokong keperluan pergerakan harian penduduk dan pengguna pengangkutan awam,” ujarnya.

Sze Han berkata Kerajaan Selangor kekal komited dalam memperkukuh kemudahan akses “first and last mile” sebagai strategi penting untuk meningkatkan penggunaan sistem pengangkutan awam yang lebih efisien dan bersepadu.

“Memandangkan jumlah pengguna pengangkutan awam utama telah bertambah, ia membuktikan rakyat semakin yakin dengan kemudahan ini dan Kerajaan Negeri bertekad menambah lebih banyak inisiatif termasuk pembinaan laluan pejalan kaki, pengukuhan laluan bas Smart Selangor, serta peluasan perkhidmatan DRT di kawasan strategik.

“Usaha ini bertujuan memastikan rakyat dapat bergerak ke stesen LRT dengan lebih mudah, selesa dan selamat,” jelasnya.

Menurut beliau, pendekatan itu dilaksanakan secara menyeluruh menerusi kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan (PBT), Prasarana dan agensi berkaitan dalam usaha menjadikan sistem pengangkutan awam di Selangor lebih mampan, inklusif dan bersedia menghadapi pertumbuhan jangka panjang.