
SHAH ALAM – Hasrat penerjun Selangor, Haris Mohd Rezal, untuk menutup penampilan terakhirnya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) dengan kenangan manis tercapai apabila dia menumbangkan dua penerjun kebangsaan bagi meraih emas acara 1 meter (m) papan anjal individu lelaki di Pusat Akuatik Darul Ehsan, hari ini.
Lebih manis, kemenangan itu hadir ketika Haris, 21, berdepan Nurqayyum Nazmi Nazim dan Yong Rui Jie dari Wilayah Persekutuan (WP), sekali gus membuktikan kemampuannya bersaing dengan penerjun yang sudah memiliki pengalaman di peringkat kebangsaan.
Haris mengumpul 353.80 mata selepas enam terjunan, masing-masing mencatatkan 61.20, 58.50, 62.40, 61.50, 59.20 dan 51.00 mata.
Nurqayyum terpaksa berpuas hati dengan perak selepas mengumpul 347.70 mata, manakala Rui Jie meraih gangsa dengan 336.15 mata.
“Saya sangat bersyukur kerana dapat menewaskan penerjun kebangsaan dan muncul juara.
“Saya tahu saya mempunyai kemampuan untuk menewaskan mereka, tetapi saya perlu bekerja keras untuk mencapainya,” katanya.
Kejayaan itu turut melengkapkan hari gemilang Haris selepas dia sebelum ini membantu Selangor memenangi emas acara 3m papan anjal seirama lelaki bersama Ikmal Abror Ibrahim.
Sebelum ini, Haris turut meraih pingat perak dalam acara 3m papan anjal individu lelaki pada awal minggu ini.
Mengimbas perjalanan kariernya, Haris berkata kejayaan yang diraih tidak terlepas daripada peranan jurulatihnya, Rossharisham Roslan, yang membimbingnya sejak berusia enam tahun.
“Saya juga berterima kasih kepada jurulatih saya, Rossharisham Roslan, yang membimbing saya sejak berusia enam tahun.
“Dia sentiasa percaya kepada saya dan tidak pernah berputus asa,” katanya.
Haris yang mula membuat penampilan di pentas SUKMA ketika berusia sembilan tahun kini berharap kejayaan di SUKMA kali terakhirnya itu mampu menjadi batu loncatan untuk merealisasikan impian menyarung jersi kebangsaan.
“Saya belum pernah berada dalam pasukan kebangsaan dan berharap peluang itu akan hadir suatu hari nanti.
“Sudah tentu saya mahu beraksi di Sukan SEA, Sukan Komanwel dan sudah pasti Sukan Olimpik. Siapa yang tidak mengimpikannya?” katanya.
Haris bukan asing dengan kejayaan di pentas SUKMA apabila pernah memenangi emas acara platform seirama lelaki bersama abangnya, Syahmi, pada edisi SUKMA Perak 2018.
Kali ini, dia menutup lembaran SUKMA dengan dua emas dan satu perak, sebelum mengalihkan fokus kepada sasaran lebih besar untuk mencabar pentas antarabangsa.
The post SUKMA terakhir jadi kenangan manis, Haris ‘tapau’ dua penerjun kebangsaan appeared first on MYBERITA.






