Rasionalisasi Subsidi RON95 Tetap Dilaksanakan Separuh Kedua 2025 – Menteri Kewangan II

LocalPolitics
27 May 2025 • 9:57 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Masihkah anda ingat sekitar tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95?

Pelaksanaan yang dirancang pada pertengahan tahun 2025 bakal melibatkan anggaran sekitar RM12 bilion bagi 85% rakyat Malaysia.

Anwar yang juga Menteri kewangan ketika pembentangan Belanjawan 2025 mendedahkan warga asing dan 15% golongan mahakaya menikmati 40% subsidi bernilai sehingga RM8 bilion.

Jelas Anwar, RM8 bilion itu lebih baik dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat bagi peningkatan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam.

Rancangan Pelaksanaan Rasionalisasi Subsidi Tetap Diteruskan Separuh Kedua 2025

Terbaharu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan kerajaan tetap akan meneruskan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 seperti yang telah dirancang pada separuh kedua tahun ini.

Jelas beliau, rancangan pelaksanaan tersebut masih dalam perbincangan di peringkat Jemaah Menteri bagi meneliti mekanisme terbaik dan adil untuk rakyat.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kabinet telah berbincang, di mana kita akan meningkatkan tahap kelayakan penerimaan subsidi.

“Yang kedua ialah mekanisme yang akan digunakan, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, kita akan menggunakan kad pengenalan dan setiap rakyat Malaysia memilikinya.

“Kita sudahpun menggunakan kad pengenalan dalam Skim SARA (Sumbangan Asas Rahmah) dan ia berkesan.

“Jadi, buat masa sekarang Kementerian Kewangan sedang mengetatkan lagi sistem di mana kita boleh menggunakannya untuk pelaksanaan subsidi RON95,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.

Anwar Beri Jaminan Tidak Akan Naikkan Harga Petrol

Beberapa hari lalu, Anwar memberi jaminan tidak akan menaikkan harga petrol untuk rakyat Malaysia.

Jelasnya, cadangan yang pernah dibentangkan di Kabinet sebelum ini tidak dipersetujui oleh beliau.

“Saya sedang fikirkan isu subsidi petrol RON 95, ada yang minta harganya dinaikkan untuk rakyat.

“Namun, saya tak setuju naikkan harga petrol RON95 boleh diturunkan sedikit demi sedikit mengikut masa dan harga pasaran.

“Namun harga petrol untuk empat juta orang rakyat asing di negara ini yang perlu dinaikkan

“Orang asing nikmati RM3 hingga RM4 bilion subsidi. Mungkin selepas ini nak beli petrol RON95 kena tunjuk kad pengenalan,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Pelaksanaaan Rasionalisasi Subsidi RON95 Diserahkan Sepenuhnya Kepada Kementerian Kewangan

Untuk info pada minggu lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 telah diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian kewangan (MOF).

Ia sekaligus menunjukkan pelaksanaan rancangan tersebut semakin hampir untuk direalisasikan.

Malah, Rafizi menjelaskan urusan berkaitan subsidi kini bukan lagi di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi.

“Keputusan berhubung subsidi bersasar RON95 telah diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan. Itu adalah keputusan Jemaah Menteri.

“Pihak Kementerian Ekonomi telah membentangkan perkara ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebanyak empat kali.

“Kini, kami menunggu tindakan selanjutnya daripada Kementerian Kewangan yang akan mengurus keseluruhan proses subsidi RON95 selepas ini,” katanya.

Source: