
Sepang International Circuit (SIC) secara rasmi mengesahkan bahawa sebuah Hakim Danish Tribune akan diwujudkan sempena MalaysianGP nanti sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian dan perjalanan karier pelumba muda negara itu di pentas antarabangsa.
Inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kepada para penyokong untuk berkumpul di satu kawasan khas bagi memberikan sokongan secara lebih tersusun, malah menjadi simbol pengiktirafan terhadap usaha, dedikasi dan kejayaan Hakim Danish yang terus mengharumkan nama Malaysia dalam dunia perlumbaan motosikal.
Bagi mereka yang kurang biasa dengan istilah tribune, ia merujuk kepada kawasan tempat duduk khas di litar yang dikhaskan untuk kumpulan penyokong tertentu. Lazimnya, penyokong akan mengenakan pakaian atau warna yang sama, mengibarkan bendera dan menghasilkan suasana yang lebih meriah sepanjang perlumbaan. Konsep ini sudah lama menjadi budaya dalam MotoGP dan perlumbaan antarabangsa, terutamanya bagi menyokong pelumba-pelumba popular.
Kewujudan Hakim Danish Tribune membuktikan bahawa sokongan terhadap pelumba muda negara semakin mendapat perhatian, selain mencerminkan penghargaan SIC terhadap sumbangan beliau dalam menaikkan nama Malaysia di arena sukan permotoran.
MalaysianGP nanti pastinya bakal menjadi lebih istimewa apabila ribuan penyokong berpeluang bersatu di Hakim Danish Tribune untuk memberikan sorakan padu kepada wakil negara di hadapan penyokong sendiri.

The post Rasmi: SIC Sahkan Hakim Danish Bakal Miliki Tribune Khas di MalaysianGP appeared first on TW Media.






