
Lain ikan, lain cara untuk mendaratkannya. Salah satu cara mendapatkan ikan adalah dengan suapan awal atau ‘rasuah’ terlebih dahulu, sebelum melabuhkan umpan sebenar.
Misalnya, bagi memburu ikan loban di perairan Pulau Aman, Pulau Pinang, anda perlu memberi rasuah secara halal, sebelum menjeratnya dengan menggunakan teknik pancingan pelampung.
Rasuah secara halal bermaksud menabur umpan roti putih terlebih dahulu di lubuk berpotensi bagi menyeru kawanan loban hadir, sebelum umpan dan mata kail dihulur untuk menjeratnya.
Tipu helah seperti ini perlu dipraktikkan sekiranya sukar menemui kawanan atau gerombolan loban yang biasanya aktif berlegar mencari makanan di permukaan air terutamanya di kawasan laut cetek.
Ikan loban atau nama saitifiknya Ellochelon vaigiensis turut digelar dengan nama ikan kedera, takuk atau kemurak dalam kalangan nelayan.
Seorang kaki pancing, Mohamad Khushairi Mohamad Zuki memaklumkan, teknik rasuah menggunakan roti putih sangat efektif untuk menarik perhatian loban mendekati kawasan pinggir pantai bagi memudahkan aktiviti pemburuannya.
“Kadangkala, susah untuk temui kumpulan loban, jadi kita perlu gunakan teknik rasuah ini di spot yang berpotensi.
“Dengan menggunakan roti putih yang dikoyak-koyak, kita taburkannya di kawasan lubuk loban. Jika ikan loban ada di kawasan berhampiran, kebiasaannya spesies ini akan datang dengan pantas.
“Ada kalanya, kurang 10 minit kita boleh mulakan aktiviti pemancingan di sekitar taburan roti selepas terlihat beberapa ekor loban menghampiri kawasan tersebut,” katanya ketika ditemu bual K-Variasi.
Bagaimanapun, umpan rasuah yang ditabur perlulah dalam kadar atau kuantiti yang sedikit memandangkan ia berperanan untuk menarik perhatian loban.

Sekiranya ditabur dalam jumlah yang banyak, dikhuatiri umpan dihulurkan kurang mendapat perhatian spesies berkenaan.
Tambah Mohamad Khushairi atau lebih terkenal dengan panggilan Chai, bagi teknik pemancingan ikan loban, jarak antara umpan dan pelampung perlu mengikut kedalaman air.
“Sekiranya kawasan pancingan cetek, memadai dengan jarak satu kaki antara umpan ke pelampung. Sekiranya spot lebih dalam, laraskan kepada 1.5 kaki.
“Untuk pemancingan loban di Pulau Aman, jarak tersebut sudah memadai berdasarkan kedalaman air di kawasan ini,” jelasnya.
Fasa air loban
Berbeza dengan pemburuan ikan pemangsa lain, fasa paling efektif memancing loban di Pulau Aman adalah ketika air pasang besar.
Menurut Chai, apabila air berada dalam fasa sedikit keruh, ia adalah bonus kerana potensi untuk mendaratkan loban lebih tinggi. Ini memandangkan spesies berkenaan aktif pada fasa tersebut.
“Apabila air pasang, kawasan pinggir berbatu atau berpasir mula dinaiki air. Itu adalah waktu terbaik kerana arus yang agak laju membuatkan air sedikit berkelodak.
“Pada masa ini, jarak penglihatan ikan pemangsa lain agak terhad, seterusnya membuatkan loban lebih aktif kerana kurang ancaman daripada spesies dominan seperti jenahak dan siakap putih,” katanya.
Untuk makluman, ikan loban dan beberapa spesies pemangsa lain berkongsi spot yang sama seperti kawasan pinggir pulau berbatu dan berpasir.
Spesies pemangsa dominan lebih aktif memburu ketika air jernih, sekali gus memberi ancaman kepada loban, terutamanya yang berstatus juvenil.
Rekod peribadi
Chai memberitahu, bagi merasai pertarungan yang mendebarkan, dia memilih menggunakan set peralatan ultra light atau light.
Ujarnya, ikan loban tidak memberi tentangan yang agresif seperti spesies lain seperti jenahak dan siakap merah.
“Kebiasaannya, saya akan padankan kekili bersaiz 800 atau 1000 bersama dengan joran berkekuatan 2-6lb atau 3-8lb sahaja.
“Sementara tali utama atau tali braided adalah antara 6lb hingga 10lb, tali perambut pula antara 10 hingga 15lb.
“Untuk joran, saya lebih selesa menggunakan ukuran panjang enam kaki lima inci ke atas kerana lebih mudah untuk ‘menghantar’ umpan terutamanya ke sasaran yang agak jauh apabila memancing dari tebing,” ujarnya.
Rekod loban terbesar pernah didaratkan oleh Chai menggunakan setup ringan adalah seberat 1.7 kilogram.
Akses ke Pulau Aman
Bagi memudahkan pemancing mengakses masuk ke Pulau Aman, perkhidmatan bot penumpang sentiasa tersedia setiap jam dari pukul 7 pagi sehingga 7 malam di Jeti Batu Musang, Batu Kawan. Selain terkenal dengan restoran makanan berasaskan hasil laut yang segar, Pulau Aman turut menyediakan penginapan calet kepada pengunjung yang berminat untuk bermalam sambil menjalankan aktiviti beriadah termasuk memancing.
“Buat kaki pancing yang datang dari jauh, anda jangan risau kerana pelbagai kemudahan disediakan, dari pengangkutan bot, kedai makan dan tempat penginapan.
“Bagi pemancing yang berhasrat untuk menikmati ikan hasil pancingan, terdapat beberapa restoran menawarkan perkhidmatan memasak hasil tangkapan di Pulau Aman,” jelasnya.
Sekiranya inginkan penjelasan yang lebih terperinci berkenaan teknik memancing loban, pembaca boleh menonton video memburu loban dalam YouTube menerusi saluran CHAI Fishing.
The post ‘Rasuah’ efektif pancing loban Pulau Aman appeared first on Kosmo Online.



