
MELAKA - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menggesa parti politik mengetepikan rundingan menerusi media sosial dan kembali ke meja rundingan bagi membincangkan kemungkinan kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, PRN berkenaan akan didekati menerusi kerangka ‘BN Plus’ yang kekal terbuka kepada mana-mana parti yang bersedia mengadakan rundingan serta meneroka bentuk kerjasama politik yang lebih kukuh.
Menurutnya, perbincangan politik secara terbuka di media sosial boleh menimbulkan persepsi tidak sihat dan seharusnya dilakukan secara bersemuka antara pemimpin parti.
“Kita terbuka untuk rundingan yang dilakukan dengan cara yang betul. Kita jangan berunding melalui media sosial kerana ia boleh menimbulkan persepsi yang tidak sihat.
“Sesiapa sahaja boleh datang untuk berunding. Tidak perlu menyuarakannya di media sosial kerana mereka belum berjumpa dengan saya atau Pengerusi parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, pada Sabtu.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata BN Melaka akan mempertahankan 21 kerusi yang kini dikuasainya, termasuk kerusi yang dimenangi pada pilihan raya negeri sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, belum ada keputusan muktamad berhubung pembahagian kerusi dan BN bersedia menilai serta mengkaji sebarang cadangan yang dikemukakan.
Beliau berkata BN akan mempertimbangkan sesuatu cadangan khususnya jika ia mampu memberikan hasil positif kepada kedua-dua parti yang terlibat.
Dalam pada itu, Ab Rauf menggesa semua parti, sama ada mempunyai persefahaman politik dengan BN atau sebaliknya, supaya terus membuka ruang kepada rundingan secara baik.
Menurutnya, dinamika politik Melaka tidak seharusnya ditentukan hanya berdasarkan keputusan pilihan raya Parlimen, kerana BN terus berusaha mendapatkan kepercayaan rakyat dan memberikan perkhidmatan berkesan kepada pengundi.
“Sudah tentu senario itu tidak boleh dijadikan ukuran untuk menentukan pembahagian kerusi yang akan berlaku pada PRN Melaka,” katanya.
Ditanya sama ada PAS telah mendekati BN untuk mengadakan rundingan, Ab Rauf berkata setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi antara kedua-dua pihak.
"Kita belum mengadakan sebarang rundingan rasmi. Belum lagi.
“Tetapi saya harap kita hentikan sementara rundingan politik melalui media sosial. Marilah kita berunding di meja rundingan dengan cara yang lebih berhemah,” katanya. - Getaran, 9 Ogos 2026






