PRN Melaka: Hentikan bincang di media sosial – Ab Rauf

LocalPolitics
9 Aug 2026 • 11:49 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: PRN Melaka: Hentikan bincang di media sosial – Ab Rauf

MELAKA: Jangan jadikan media sosial sebagai ‘meja rundingan’ pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Sebaliknya, beliau meminta semua parti yang berminat untuk bekerjasama supaya duduk semeja dan berunding secara bersemuka bagi mencari formula terbaik menghadapi PRN akan datang.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, rundingan secara terbuka di media sosial hanya akan mencetuskan persepsi kurang sihat serta tidak membantu usaha membentuk kerjasama politik yang kukuh.

“Kepada semua parti yang terlibat, boleh datang berunding. Tidak perlu suarakan dalam media sosial sebaliknya perlu dibincangkan secara bersemuka bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau bertemu saya sendiri.

“Rundingan sentiasa terbuka untuk melihat bagaimana kebersamaan ini boleh dijadikan satu kenyataan selain membentuk satu pasukan yang kuat bagi mempertahankan negeri Melaka yang kita terajui.

“Saya harap kita hentikan seketika rundingan politik melalui media sosial, kita runding di meja perundingan yang lebih bijaksana,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita DUN Paya Rumput di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini, malam tadi.

Menurut Ab Rauf, setakat ini belum ada sebarang rundingan rasmi berkaitan pembahagian kerusi diadakan, namun konsep BN+ yang diterapkan di Melaka membuka ruang kepada mana-mana parti untuk hadir berbincang mengenai bentuk kerjasama yang boleh dibentuk.

Katanya, tiada keputusan muktamad dibuat kerana setiap cadangan perlu dinilai dan dikaji terlebih dahulu berdasarkan kepentingan serta manfaat kepada semua pihak.

“Saya buka untuk rundingan dan kita tidak memberikan kata putus. Pastinya kita akan menilai, mengkaji dan memberikan pandangan sekiranya ia memberikan pulangan yang baik kepada kedua-dua parti politik,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf menegaskan, BN Melaka akan terus mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada PRN 2021.

Katanya, keputusan pilihan raya Parlimen tidak boleh dijadikan ukuran tunggal dalam menentukan pengagihan kerusi bagi PRN Melaka akan datang.

“Kita telah berusaha untuk meyakinkan rakyat dan memberikan khidmat yang terbaik. Pastinya senario itu tidak boleh diukur daripada keputusan Parlimen dalam pengagihan kerusi yang akan berlaku dalam PRN Melaka,” katanya.-UTUSAN

The post PRN Melaka: Hentikan bincang di media sosial – Ab Rauf appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved