
SHAH ALAM – Rayuan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan anaknya tiga tahun lalu, akan didengar di Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos ini.
Pada tarikh yang sama, mahkamah akan turut mendengar rayuan silang pihak pendakwaan berhubung hukuman pemenjaraan yang dijatuhkan kepada Ismanira, 31, sebelum ini.
Hakim Noor Hisham Ismail menetapkan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan pihak pendakwaan perlu memfailkan hujahan balas lanjut yang dikemukakan oleh pihak pembelaan Ismanira.
Semasa prosiding, peguam Haresh Mahadevan, yang mewakili Ismanira tidak membantah sekiranya mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi pendengaran rayuan tersebut.
Sebelum ini, petisyen rayuan berkenan difailkan pihak pembelaan Ismanira pada Januari lalu menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co selepas tidak berpuas hati terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini.
Pada 31 Oktober tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Dr. Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melangkaui keraguan munasabah terhadap Ismanira diakhir kes pembelaannya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara lima tahun itu bermula dari tarikh sabitan selain tertuduh perlu menjalani bon berkelakuan baik dalam tempoh dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan, berserta cagaran RM3,000.
Selain itu mahkamah turut mengarahkan Ismanira menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dan perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman pemenjaraan selain permohonan penangguhan hukuman ditolak.
Pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ismanira untuk menangguhkan hukuman penjara lima tahun yang dihadapi.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin ketika itu memutuskan demikian selepas meneliti segala afidavit dan hujahan termasuk secara lisan daripada pemohon serta responden.
Mengikut pertuduhan pindaan Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di sini antara pukul 12 tengahari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Justeru mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
The post Rayuan ibu Allahyarham Zayn Rayyan didengar 19 Ogos ini appeared first on Kosmo Digital.






