SHAH ALAM - Rayuan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan kanak-kanak autism itu, akan bermula di Mahkamah Tinggi di sini pada 19 Ogos depan.
Hakim, Noor Hisham Ismail menetapkan tarikh berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan pihak pendakwaan perlu memfailkan hujahan balas terhadap hujahan bertulis yang dikemukakan pihak pembelaan.
Semasa prosiding, Raja Zaizul Faridah berkata, pendakwaan baru menerima dokumen berkenaan daripada pembelaan mewakili wanita berusia 31 tahun tersebut pada Selasa lalu.
Justeru, beliau memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes seterusnya.
Mendengar perkara itu, peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira tidak membantah permohonan tersebut.
Dalam prosiding berkenaan, Ismanira selaku perayu turut diwakili peguam, Haijan Omar, Tiara Katrina Fuad, Lavanesh Haresh Mahadevan dan Asyraaf Abu Bakar.
Pada tarikh sama, mahkamah juga akan mendengar rayuan silang pihak pendakwaan berhubung hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terhadap Ismanira.
Pada 5 Januari lalu, Ismanira memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya kerana mengabaikan kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, tiga tahun lepas.
Menurut petisyen itu, Hakim Mahkamah Sesyen juga telah tersalah arah apabila menolak keterangan saksi pendakwaan kelima (SD5), seorang pakar pembelaan yang berkelayakan, hanya kerana beliau tidak memeriksa kanak-kanak tersebut.
Sedangkan katanya, pihak pendakwaan sendiri bergantung kepada pandangan pakar yang tidak dipanggil dan juga tidak pernah memeriksa kanak-kanak itu.
Petisyen itu mendakwa penolakan itu bersifat arbitrari, tidak seimbang dan merupakan salah arah yang serius dalam penilaian keterangan pakar.
Sebelum ini, Ismanira memfailkan notis rayuan menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co selepas tidak berpuas hati terhadap sabitan dan keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Dr Syahliza Warnoh pada 31 Oktober 2025.
Syahliza membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan memerintahkan Ismanira menjalani hukuman penjara serta-merta selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM3,000.
Ibu kepada dua anak itu turut diarah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.






