Rayuan kes Syed Saddiq ditangguh, keputusan diketahui 13 Julai

LocalPolitics
30 Jun 2026 • 2:35 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

PUTRAJAYA – Keputusan rayuan pendakwaan bagi mengembalikan sabitan dan hukuman terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Persekutuan yang dijadual diumumkan hari ini ditangguhkan ke 13 Julai depan.

Penangguhan itu dibuat selepas salah seorang anggota panel, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali, dilaporkan bercuti sakit hari ini dan esok.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan itu diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Che Mohd. Ruzima dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 30 Jun sebagai tarikh untuk memutuskan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Keputusan yang bakal diumumkan pada 13 Julai itu sama ada dibuat secara sebulat suara atau melalui keputusan majoriti 2-1.

Sebelum ini, pihak pendakwaan mengemukakan 28 alasan dalam petisyen rayuan bagi memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.

Pada 25 Jun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Syed Saddiq sekali gus membebaskan beliau daripada semua pertuduhan selepas mendapati sabitan dan hukuman yang dikenakan Mahkamah Tinggi tidak selamat untuk dikekalkan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 33, didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali, melakukan pecah amanah membabitkan dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika disabitkan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan wang RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut antara 8 hingga 21 April 2018.

Pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan hingga maksimum lima tahun, sebatan dan denda.

Syed Saddiq turut berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan wang RM50,000 bagi setiap transaksi daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera pada 16 dan 19 Jun 2018.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau jumlah yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved