Rayuan pendakwaan dibenar, DJ Ismahalil dijel 30 tahun

7 Aug 2026 • 3:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rayuan pendakwaan dibenar, DJ Ismahalil dijel 30 tahun

PUTRAJAYA – Bekas penyampai radio (DJ), Ismahalil Hamzah dihukum dipenjara 30 tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah lima tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Noorin Badaruddin bersama-sama dua lagi hakim Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid.

Panel sebulat suara menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Ismahalil, 53, yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada 2023.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh keputusan hari ini.

Dalam penghakiman yang dibacakan oleh Hakim Radzi, mahkamah mendapati terdapat alasan yang cukup bagi membolehkan Mahkamah Rayuan mengganggu dapatan Hakim Mahkamah Tinggi di akhir kes pembelaan.

“Terdapat kekhilafan menilai secara wajar keterangan pihak pembelaan dan mendapati pembelaan berjaya membangkitkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.

“Sebaliknya, kami mendapati responden (pihak pembelaan Ismahalil) gagal membangkitkan keraguan munasabah atas kes pendakwaan dan gagal memintas anggapan pemilikan dan pengedaran dadah berada di bawah kawalannya.

“Pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, kami membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengenepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan responden (Ismahalil) dari pertuduhan,” katanya.

Terdahulu semasa prosiding peguam mewakili Ismahalil, Hermes Media Putra Ibrahim memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya berikutan responden merupakan pencari nafkah tunggal bagi keluarga.

“Saya memohon hukuman yang ringan terhadap responden berdasarkan faktor usia serta tanggungan pendapatan yang tinggi perlu ditanggungnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz yang bertindak sebagai perayu memohon pertimbangan hukuman penjara terhadap responden tanpa sebatan.

Ini kerana faktor umur responden yang telah melebihi 50 tahun yang mana dia tidak boleh dikenakan hukuman sebat.

Sebelum ini pada 17 Julai 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Ismahalil selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, Ismahalil didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini pada pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.

Berikutan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati. – KOSMO! ONLINE

The post Rayuan pendakwaan dibenar, DJ Ismahalil dijel 30 tahun appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved