Bergaduh Di Kedai Telefon, Bekas Pekerja Dipenjara 30 Tahun, 12 Sebatan Sebabkan Kematian Lelaki

26 Aug 2026 • 3:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bergaduh Di Kedai Telefon, Bekas Pekerja Dipenjara 30 Tahun, 12 Sebatan Sebabkan Kematian Lelaki

MUAR - Pergaduhan di sebuah kedai telefon bimbit enam tahun lalu berakhir dengan seorang bekas pekerja dihukum penjara 30 tahun dan 12 sebatan kerana menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 43 tahun.

Hakim Mahkamah Tinggi Muar, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Yew Lung, 32, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah selepas kes pembelaan selesai.

Dalam penghakimannya, Meor Hashimi berkata, mahkamah telah meneliti dengan teliti hujahan bertulis dan lisan kedua-dua pihak, selain menilai keterangan serta kredibiliti saksi-saksi pembelaan.

“Mahkamah berpuas hati bahawa pembelaan yang dikemukakan tertuduh, SP2 (Saksi Pendakwa) dan SP3 gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Pembelaan tertuduh, SP2 dan SP3 tidak boleh dipercayai atau diterima oleh mahkamah ini. Malah, pembelaan tertuduh serta keterangan SP2 dan SP3 juga gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes ini.

“Kesemua ramuan atau elemen pertuduhan telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan melampaui keraguan munasabah,” katanya ketika menyampaikan penghakiman.

Meor Hashimi berkata, selepas menilai keseluruhan kes pembelaan, mahkamah berpuas hati bahawa Lim bersalah atas kesalahan tersebut.

“Justeru, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan kesalahan. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun bermula dari tarikh tangkapnya pada 29 Januari 2020, selain 12 sebatan.

“Mahkamah memerintahkan semua barang kes diserahkan kepada polis untuk dilupuskan selepas tempoh rayuan tamat,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Othman Affan Ismail mengendalikan pendakwaan, manakala Lim diwakili peguam R K Balakrishnan.

Lim didakwa membunuh Tsun Chin Kiang di sebuah kedai peralatan telefon bimbit di Jalan Perwira 1, Taman Perwira, di sini, antara jam 1.41 pagi hingga 4.15 pagi pada 29 Januari 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, selain minimum 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Mengikut fakta kes pendakwaan, Tsun berada di kedai berkenaan sebelum tercetus pergaduhan antara kedua-dua lelaki itu.

Tsun mengalami kecederaan parah dalam kejadian tersebut dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk menerima rawatan.

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia empat hari kemudian ketika masih menerima rawatan. - Getaran, 26 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved