Dapatan RCI TH bukan asas automatik untuk pendakwaan – Bekas Hakim

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 11:22 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dapatan RCI TH bukan asas automatik untuk pendakwaan – Bekas Hakim

KUALA LUMPUR: Dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak boleh dengan sendirinya dijadikan asas untuk mendakwa mana-mana pihak, sebaliknya siasatan lanjut perlu dijalankan bagi mendapatkan keterangan dan bukti yang boleh dikemukakan di mahkamah.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md Sam berkata, laporan RCI tidak mengikat dari segi undang-undang dan tidak boleh dijadikan keterangan dalam kes jenayah atau sivil seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Beliau berkata susulan pendedahan laporan RCI TH kepada umum pada 29 Julai lepas, sebarang dapatan berhubung kelemahan pengurusan dan operasi institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020 perlu diteliti semula oleh agensi penguatkuasaan sebelum tindakan undang-undang boleh diambil.

“RCI hanya menjalankan siasatan mengikut terma rujukan yang diberikan kerajaan dan membuat dapatan serta syor untuk tindakan selanjutnya. Hanya keterangan yang dikumpulkan agensi penguatkuasaan menerusi siasatan mereka boleh dikemukakan sebagai bukti di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Yaacob, yang pernah terlibat secara langsung sebagai pegawai pengendali dan setiausaha beberapa RCI, berkata tidak semua bentuk salah urus, kegagalan mengurus atau kecuaian boleh dikategorikan sebagai kesalahan jenayah kerana ia bergantung kepada kewujudan elemen kesalahan yang ditetapkan undang-undang.

Menurut bekas hakim itu, sesuatu perlakuan hanya boleh dikategorikan sebagai jenayah sekiranya wujud elemen seperti niat melakukan kesalahan, pecah amanah jenayah terhadap harta atau wang yang diamanahkan, penipuan dalam sesuatu keputusan atau kepentingan peribadi dan konflik kepentingan yang membawa faedah atau keuntungan kepada pihak terbabit.

“Jika hanya berlaku salah urus, kegagalan mengurus atau kecuaian, perkara itu mungkin membentuk tanggungan sivil seperti pelanggaran kewajipan fidusiari, yang membolehkan tindakan diambil untuk mendapatkan semula wang atau harta yang hilang akibat pelanggaran tanggungjawab fidusiari,” katanya.

Dalam pada itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, sekiranya siasatan mendapati wujud kesalahan dan keterangan yang mencukupi, tindakan jenayah perlu diambil tanpa mengira kedudukan individu terbabit.

Beliau berkata, tindakan itu penting bagi memastikan syor RCI berkaitan TH diterjemahkan kepada tindakan sewajarnya, sekali gus memulihkan keyakinan rakyat dan pendeposit terhadap institusi itu serta proses siasatan susulan laporan berkenaan.

“Itu yang rakyat nak tengok. Lagi awal kita boleh selesaikan perkara yang mudah dan bawa ke mahkamah kalau ada bukti-bukti yang cukup, rakyat akan bertambah yakin,” katanya.

Mohamed Haniff berkata, bagaimanapun, tindakan pendakwaan terhadap sesuatu kes tidak bermakna keseluruhan siasatan berkaitan laporan RCI itu telah selesai kerana siasatan terhadap perkara lain masih berjalan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, hampir 200 individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara berasingan, dengan siasatan dijangka berlanjutan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan lagi.

Beliau turut mencadangkan Jabatan Peguam Negara menubuhkan satu unit khas yang dianggotai tiga Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berpengalaman dalam kes SPRM dan jenayah biasa bagi menyelia serta menilai secara bersepadu semua kertas siasatan berkaitan RCI TH yang dikemukakan PDRM dan SPRM.

Peguam itu berkata, mekanisme berkenaan dapat menjadikan siasatan lebih efisien memandangkan RCI TH melibatkan dua agensi penguat kuasa dengan saluran pengendalian kertas siasatan yang berbeza.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman dilaporkan berkata suruhanjaya itu telah membuka 14 kertas siasatan serta melaksanakan beberapa tindakan operasi termasuk tangkapan, reman dan sitaan, selain pemeriksaan dan penggeledahan di 28 premis.

The post Dapatan RCI TH bukan asas automatik untuk pendakwaan – Bekas Hakim appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved