RCI tidak cukup, perlu siasat

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 11:58 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RCI tidak cukup, perlu siasat

KUALA LUMPUR – Dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak boleh dengan sendirinya dijadikan asas untuk mendakwa mana-mana pihak, sebaliknya siasatan lanjut perlu dijalankan bagi mendapatkan keterangan dan bukti yang boleh dikemukakan di mahkamah.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md Sam berkata laporan RCI tidak mengikat dari segi undang-undang dan tidak boleh dijadikan keterangan dalam kes jenayah atau sivil seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Beliau berkata susulan pendedahan laporan RCI TH kepada umum pada 29 Julai lepas, sebarang dapatan berhubung kelemahan pengurusan dan operasi institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020 perlu diteliti semula oleh agensi penguatkuasaan sebelum tindakan undang-undang boleh diambil.

“RCI hanya menjalankan siasatan mengikut terma rujukan yang diberikan kerajaan dan membuat dapatan serta syor untuk tindakan selanjutnya. Hanya keterangan yang dikumpulkan agensi penguatkuasaan menerusi siasatan mereka boleh dikemukakan sebagai bukti di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Yaacob, yang pernah terlibat secara langsung sebagai pegawai pengendali dan setiausaha beberapa RCI, berkata tidak semua bentuk salah urus, kegagalan mengurus atau kecuaian boleh dikategorikan sebagai kesalahan jenayah kerana ia bergantung kepada kewujudan elemen kesalahan yang ditetapkan undang-undang.

Menurut bekas hakim itu, sesuatu perlakuan hanya boleh dikategorikan sebagai jenayah sekiranya wujud elemen seperti niat melakukan kesalahan, pecah amanah jenayah terhadap harta atau wang yang diamanahkan, penipuan dalam sesuatu keputusan atau kepentingan peribadi dan konflik kepentingan yang membawa faedah atau keuntungan kepada pihak terbabit. – BERNAMA

The post RCI tidak cukup, perlu siasat appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved