RCI dedah menteri kuasai hampir semua aspek urus tadbir Tabung Haji

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 8:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RCI dedah menteri kuasai hampir semua aspek urus tadbir Tabung Haji Image from: RCI dedah menteri kuasai hampir semua aspek urus tadbir Tabung Haji johardy30/07/2026 - 08:20 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Julai – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendedahkan menteri yang bertanggungjawab terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) memegang kuasa yang amat luas sehingga meliputi hampir keseluruhan aspek urus tadbir, pengurusan dan operasi institusi itu di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

 

Laporan RCI yang dinyahklasifikasikan menunjukkan kuasa itu membolehkan menteri melantik dan membatalkan pelantikan Pengerusi serta Ahli Lembaga TH, selain menentukan pelbagai keputusan penting yang memberi kesan langsung kepada pentadbiran institusi berkenaan.

 

Menteri juga diberi kuasa menentukan pembayaran honorarium, elaun perjalanan dan elaun sara hidup Ahli Lembaga, selain boleh mengeluarkan arahan bersifat am berkaitan pelaksanaan fungsi TH yang wajib dipatuhi selagi selaras dengan Akta 535.

 

Turut didedahkan, menteri mempunyai kuasa terhadap pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif TH termasuk memberi persetujuan terhadap pembayaran gaji dan elaunnya, selain meluluskan peraturan berkaitan syarat perkhidmatan serta tatatertib pegawai TH.

 

"Menteri juga berkuasa meluluskan pemberian pembiayaan atau bantuan kewangan kepada mana-mana syarikat yang ditubuhkan di bawah perenggan 4(3)(d) dan kepada mana-mana syarikat yang berkaitan dengannya," menurut laporan RCI.

 

Malah, kuasa menteri turut merangkumi kelulusan peraturan berhubung deposit dan pengeluaran pendeposit, meluluskan semua aktiviti pelaburan TH di dalam dan luar negara, menentukan pemindahan wang daripada Kumpulan Wang Rizab LTH serta meluluskan pengisytiharan untung boleh diagihkan (hibah).

 

RCI syor kuasa menteri dihadkan

Selain itu, menteri turut diberi kuasa meluluskan apa-apa peraturan yang difikirkan perlu atau suai manfaat bagi memberikan kuat kuasa penuh kepada peruntukan Akta 535.

 

Susulan penemuan itu, RCI mengesyorkan Akta 535 dipinda bagi mengehadkan kuasa menteri dalam pelantikan Ahli Lembaga TH, di samping memperkenalkan kriteria pemilihan yang lebih ketat berdasarkan kepakaran dan kelayakan.

 

Laporan itu mendapati Seksyen 6 Akta 535 memberikan kuasa yang terlalu luas kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama untuk melantik dan membatalkan pelantikan Pengerusi serta Ahli Lembaga TH.

 

Menurut RCI, kuasa menteri bukan sahaja meliputi urusan haji, malah merangkumi aspek urus tadbir, pengurusan dana pendeposit dan pelaburan TH.

 

Berdasarkan akuan berkanun serta keterangan saksi, RCI mendapati kebanyakan keputusan menteri banyak bergantung kepada cadangan pengurusan TH dan persetujuan Lembaga.

 

"Menteri yang bertanggungjawab ialah Menteri Hal Ehwal Agama.

 

"Memandangkan bidang kepakaran menteri yang bertanggungjawab menjurus kepada bidang agama, RCI berpendapat komposisi bidang kepakaran dalam Lembaga hendaklah seimbang supaya keputusan-keputusan Lembaga yang menasihati menteri dibuat dengan penuh kepakaran, bebas dan patuh syariah," menurut laporan itu.

 

Perlu Ahli Lembaga lebih berkelayakan

RCI berkata, berdasarkan fungsi TH di bawah Seksyen 4(1) Akta 535, Ahli Lembaga memikul amanah besar untuk memastikan institusi itu diurus secara cekap demi melindungi kepentingan pendeposit serta menjaga kebajikan jemaah haji.

 

Sehubungan itu, suruhanjaya mengesyorkan Akta 535 dipinda bagi memperincikan kriteria dan kaedah pemilihan Ahli Lembaga supaya hanya individu yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan kelayakan bersesuaian dilantik mengurus dana pendeposit serta operasi TH.

 

Menurut RCI, cadangan penambahbaikan itu merupakan antara syor utama bagi memperkukuh urus tadbir TH, meningkatkan akauntabiliti dan memastikan institusi berkenaan terus mengekalkan integritinya sebagai pengurus dana umat Islam serta pengendali urusan haji negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved