RCI syor bonus RM2.19 juta dituntut semula

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2026 • 11:16 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RCI syor bonus RM2.19 juta dituntut semula

PETALING JAYA: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji mengesyorkan usaha dibuat bagi mendapatkan semula bonus berjumlah RM2.19 juta yang telah diberikan kepada beberapa pengarah dan pegawai terpilih TH Properties Sdn. Bhd.

Dalam laporan dikeluarkan, ia menyebut bonus yang diberikan melanggar peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016 kerana tidak memperoleh kelulusan dan resolusi pemegang saham.

Suruhanjaya itu bersetuju dengan pandangan undang-undang yang diberikan firma guaman MD Tajuddin & Co. bahawa pembayaran bonus pada 2017 oleh Lembaga Pengarah TH Properties melanggar Seksyen 230 (2) dan 230 (4) Akta Syarikat 2016 manakala pembayaran pada 2018 melanggar Seksyen 230 (3) akta sama.

“Suruhanjaya telah meneliti dokumen dan minit mesyuarat berkaitan isu pembayaran bonus kepada anggota Lembaga dan kakitangan tertentu TH Properties.

“Bayaran bonus yang telah diberikan kepada anggota Lembaga TH Properties dan kakitangan tertentu pada 2017 dan 2018 adalah atas alasan bahawa projek pembangunan di Australia terutamanya ‘The Bay Pavillion’ telah memberikan sumbangan kewangan yang signifikan kepada TH Properties pada 2016 dan 2017,” kata laporan itu.

Laporan menambah, projek berkenaan didakwa menjana pulangan sebanyak AU$11.6 juta kepada TH Properties.

“Suruhanjaya mendapati beberapa orang terpilih telah diberikan bonus istimewa dengan jumlah sebanyak RM1,148,400 pada 2017 dan RM1,045,000 pada 2018.

“Dengan ini, suruhanjaya mencadangkan supaya usaha dibuat bagi mendapatkan semula bonus yang telah diberikan kepada mereka yang terlibat, memandangkan bonus berkenaan diberikan tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” jelasnya.

Bonus itu dikatakan telah diberi kepada 10 individu terdiri daripada dua pengarah, dua bekas pengarah dan enam pegawai.

Semakan suruhanjaya turut mendapati, kadar bonus yang diberikan kepada kakitangan TH dari 2010 hingga 2017 adalah terlalu tinggi iaitu antara dua hingga 13 bulan gaji, termasuk bonus tahunan dan bonus khas.

“Penelitian suruhanjaya mendapati proses bayaran bonus melalui tiga peringkat kelulusan iaitu Lembaga, Menteri Hal Ehwal Agama dan Kementerian Kewangan (MoF).

“Lazimnya, Menteri Hal Ehwal Agama dan MoF hanya akan menerima cadangan pemberian bonus seperti yang disyorkan oleh Pengurusan TH dan Lembaga.

“Ini termasuk ketika cadangan pemberian bonus luar biasa pada 2014 pada kadar satu hingga 11 bulan gaji bagi bonus tahunan dan dua bulan gaji bonus khas dengan jumlah keseluruhan boleh mencecah 13 bulan gaji yang melibatkan peruntukan sebanyak RM74 juta,” menurut laporan itu.

Laporan itu menjelaskan bahawa pemberian bonus yang tinggi berlaku kerana TH menilai asetnya berdasarkan realisable asset value (RAV) atau nilai boleh tunai aset.

“Pengurusan TH dalam tempoh tahun kewangan 2014 hingga 2017 tidak menggunakan nilai aset seperti yang dilaporkan dalam Penyata Kewangan Tahunan TH yang diaudit oleh Jabatan Audit Negara (JAN). Sebaliknya, TH telah menggunakan RAV dalam menentukan pematuhan kepada Seksyen 22 Akta 535,” katanya.

Bagaimanapun, suruhanjaya menyatakan bahawa mulai tahun kewangan 2018 hingga kini, pemberian bonus kepada kakitangan telah dikawal mengikut kemampuan kewangan TH. – UTUSAN 

The post RCI syor bonus RM2.19 juta dituntut semula appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved