
PUTRAJAYA: Seramai tiga lagi individu ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki bersubahat menyeleweng caj notis penalti (NOP) kira-kira RM450,000.
Tiga individu itu ialah timbalan pengurus besar pembinaan, pengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pengarah projek sebuah syarikat hartanah yang merupakan anak syarikat badan berkanun.
Perintah reman selama lima hari sehingga 9 Ogos 2026 terhadap ketiga-tiga suspek telah dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an telah ditahan pukul 6 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2017 hingga 2019,” katanya.
Tahanan reman ini adalah susulan daripada siasatan oleh pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Julai 2026.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN
The post RCI Tabung Haji: 3 lagi individu direman subahat seleweng NOP RM450,000 appeared first on Utusan Malaysia.





