RCI Tabung Haji: Bekas Pengerusi TH, bekas KSP direman tujuh hari

LocalPolitics
27 Aug 2026 • 3:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RCI Tabung Haji: Bekas Pengerusi TH, bekas KSP direman tujuh hari
Orang yang disyaki diiringi pegawai SPRM bagi pernohonan reman pada Khamis.

PUTRAJAYA- Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan susulan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Majistret, Ezrene Zakariah menetapkan tempoh tersebut yang berakhir 2 September depan selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis.

Mereka yang bergari dan memakai baju jingga tiba jam 9.30 pagi Khamis diiringi pegawai penyiasat SPRM bagi permohonan reman di hadapan Majistret.

Sementara itu, peguambela, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat memaklumkan anak guamnya disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 atas kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan kedua-dua tokoh berusia 60-an itu ditahan jam 4 petang, Rabu ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM.

Sebelum ini bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH direman tujuh hari sehingga 27 Ogos untuk membantu siasatan berkaitan pendedahan RCI mengenai TH.

Pada 14 Ogos lalu, tujuh individu termasuk seorang wanita yang terdiri daripada seorang CEO, pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH ditahan SPRM bagi membantu siasatan berkaitan isu sama.

SPRM telah menahan dan memanggil tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung RCI itu.

Dalam laporan RCI yang didedahkan pada 29 Julai lalu, sebanyak 25 syor utama dikemukakan bagi meningkatkan ketelusan, profesionalisme, dan tadbir urus institusi terbabit.

Antara syor utama yang terkandung dalam laporan RCI terbabit ialah melarang ahli politik aktif daripada menduduki Lembaga Pengarah TH bagi mengelakkan campur tangan politik.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut bertitah supaya siasatan berhubung laporan RCI TH dijalankan sehingga ke lubang cacing.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved