RCI Tabung Haji: JPM Hal Ehwal Agama junjung titah Agong demi integriti

LocalPolitics
9 Aug 2026 • 8:32 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RCI Tabung Haji: JPM Hal Ehwal Agama junjung titah Agong demi integriti
Zulkifli berkata, keprihatinan Seri Paduka Baginda menggariskan kepentingan utama dalam memelihara amanah serta keyakinan umat Islam terhadap institusi pengurusan haji dan kewangan Islam negara ini.

PUTRAJAYA - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mahukan siasatan berhubung dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa sebarang kompromi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, keprihatinan Seri Paduka Baginda menggariskan kepentingan utama dalam memelihara amanah serta keyakinan umat Islam terhadap institusi pengurusan haji dan kewangan Islam negara ini.

"Tindakan tegas dan saksama berdasarkan lunas undang-undang sewajarnya diambil ke atas mana-mana individu atau entiti yang didapati bersalah melanggar amanah serta prinsip tadbir urus,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Zulkifli berkata, kerajaan tidak bertolak ansur dan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewengan, atau kelemahan pengurusan yang boleh menjejaskan kepentingan pendeposit TH.

"Setiap langkah penguatkuasaan dan penambahbaikan yang disyorkan laporan RCI ini akan diperincikan secara teliti demi memastikan struktur tadbir urus TH diperkemaskan ke tahap tertinggi.

"Komitmen berterusan ini amat signifikan bukan sahaja untuk menegakkan keadilan dan akauntabiliti, malah bagi memastikan kesilapan terdahulu tidak akan berulang pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, JPM (Hal Ehwal Agama) bertekad untuk memastikan TH terus kekal sebagai sebuah institusi pengurusan haji yang kukuh, berintegriti, dan sentiasa mendapat kepercayaan penuh seluruh rakyat Malaysia.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya siasatan berhubung Laporan RCI mengenai TH dijalankan 'sehingga lubang cacing'.

Seri Paduka Baginda bertitah, langkah itu penting bagi memastikan setiap pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

Selain itu, Sultan Ibrahim juga bertitah supaya siasatan berhubung perkara berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh, tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai lepas mendedahkan pelbagai dapatan penting berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Satu sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 11 Ogos ini bagi membahaskan laporan berkenaan. - Bernama

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved