
PETALING JAYA – Gelaran ‘Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri’ yang dikurniakan kepada Pengiran Raabi’atul Adawiyyah Pengiran Haji Bolkiah ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
Pengumuman itu disiarkan dalam siaran televisyen perdana di Brunei malam tadi.
“Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka Yang Mulia Pengiran Raffizanna Pengiran Razali, Pemangku Grand Chamberlain, memaklumkan bahawasanya gelaran “Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri” yang dikurniakan kepada Pengiran Raabi’atul Adawiyyah Pengiran Bolkiah iaitu isteri Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ditarik balik dengan serta-merta.
“Ini disebabkan kelakuan-kelakuannya yang tidak melayakkan sebagai pasangan Kerabat Diraja serta mencemarkan nama baik dan tidak menghormati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Kerabat Diraja,”kata pengumuman di televisyen itu.
Sebagai makluman, gelaran Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri ialah rujukan kehormat diraja di Brunei yang dikurniakan kepada isteri kepada putera Sultan. – KOSMO! ONLINE
The post Menantu Sultan Brunei dilucut gelaran Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri appeared first on Kosmo Digital.






