liza04/08/2026 - 18:02 Foto ihsan SPRM Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu dalam dua siasatan berasingan membabitkan projek pembekalan benih getah bernilai RM8 juta dan dakwaan rasuah kira-kira RM300,000 susulan semakan terhadap dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Kedua-dua suspek direman selepas Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan SPRM bagi membantu siasatan yang dijalankan pasukan petugas khas ditubuhkan untuk meneliti dapatan laporan RCI berkenaan.
Seorang daripada suspek ialah bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekal benih getah di Lembah Klang yang ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 7 malam semalam.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu disyaki menyeleweng projek pembekalan benih getah kepada dua syarikat perladangan yang merupakan anak syarikat sebuah badan berkanun.
Siasatan awal mendapati kesalahan itu dipercayai dilakukan antara 2015 hingga 2017, melibatkan kontrak pembekalan benih getah bernilai kira-kira RM8 juta.
Bekas pengurus ladang direman tiga hari
Mahkamah membenarkan suspek direman selama tiga hari sehingga 6 Ogos bagi membolehkan SPRM melengkapkan siasatan.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Laporan RCI Tabung Haji yang menjadi asas kepada siasatan itu telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum mendedahkan identiti badan berkanun serta anak syarikat yang terlibat dalam siasatan tersebut.
Turut siasat dakwaan rasuah RM300,000
Dalam siasatan berasingan, SPRM turut memperoleh perintah reman terhadap seorang pengarah sebuah syarikat reka bentuk bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan kira-kira RM300,000.
Suspek dipercayai membiayai kerja-kerja pengubahsuaian rumah milik bekas COO sebagai balasan untuk mendapatkan kontrak.
Mahkamah Majistret Putrajaya turut membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman suspek bagi membantu siasatan. Kes berkenaan merupakan antara siasatan yang dijalankan pasukan petugas khas susulan semakan terhadap dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan kedua-dua penahanan dan memaklumkan siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan proses pengumpulan bukti sebelum tindakan lanjut diambil. - DagangNews.com






