
PUTRAJAYA -,Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki bagi membantu siasatan khas yang dijalankan susulan penelitian terhadap penemuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).
Kedua-dua suspek yang merupakan seorang pengarah syarikat dan bekas pengurus ladang ditahan selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.
Pengarah syarikat berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 7.30 malam Isnin selepas disyaki terbabit dalam kes rasuah membabitkan bayaran berjumlah RM300,000 kepada seorang bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah badan berkanun.
Siasatan awal mendapati wang tersebut dipercayai diberikan sebagai balasan untuk mendapatkan beberapa projek yang keseluruhannya dianggarkan bernilai kira-kira RM8 juta.
Kesalahan itu dipercayai berlaku antara 2014 hingga 2018, apabila suspek didakwa menanggung kos kerja pengubahsuaian empat kediaman milik bekas COO berkenaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM300,000.
Sementara itu, seorang lagi suspek yang juga berusia lingkungan 50-an dan merupakan bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekal anak benih pokok getah ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan kontrak membabitkan nilai sekitar RM8 juta.
Beliau dipercayai menyalahgunakan projek pembekalan anak benih getah di dua syarikat perladangan, termasuk sebuah anak syarikat badan berkanun itu, antara 2015 hingga 2017.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan memaklumkan siasatan terhadap pengarah syarikat dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Siasatan terhadap bekas pengurus ladang pula dibuat di bawah Seksyen 18 akta yang sama.
Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini turut membenarkan perintah reman selama dua hari terhadap pengarah syarikat itu, manakala bekas pengurus ladang direman selama tiga hari bagi membantu siasatan. - Getaran, 4 Ogos 2026





