RCI TH: Beberapa individu didakwa hari ini, esok

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RCI TH:  Beberapa individu didakwa hari ini, esok

PUTRAJAYA: Beberapa individu yang sebelum ini ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasu­ah Malaysia (SPRM), termasuk orang kenamaan, bagi membantu siasatan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka didakwa di mahkamah hari ini dan esok.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, cadangan pertuduhan itu dilakukan susulan hasil penelitian enam kertas siasatan oleh pasukan khas pada 31 Julai lalu.

“Bagi kertas siasatan pertama, empat pertuduhan akan dilakukan iaitu tiga pertuduhan di Mahkamah Shah Alam pada esok (3 September), sementara Jumaat (4 September) satu pertuduhan akan dilakukan di Mahkamah Kuala Lumpur.

“Empat lagi kertas siasatan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, siasatan di­ja­lankan merangkumi aspek di bawah Akta SPRM 2009 membabitkan unsur kesalahan sekiranya dikesan iaitu rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

“Bagi siasatan di peringkat awalan, terdapat enam isu yang telah dibangkitkan di dalam laporan RCI tersebut yang telah dirujuk kepada pihak kami oleh pihak Tabung Haji untuk siasatan.

“Isu ini antaranya melibatkan dakwaan rasuah dalam pembeli­an ladang sawit, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam penyewaan restoran di Kuala Lumpur, pengubahsuaian rumah serta pejabat serta dakwaan pemalsuan dokumen pembekalan anak benih getah,” katanya.

Beliau berkata, bagi enam isu ini, tujuh individu telah ditahan terdiri daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Plantation, bekas ketua pegawai kewangan (CFO) TH Plantation, bekas pengurus Lapangan Semaian Tan Kedah.

Turut ditahan iaitu Pengarah AG Reka Sdn. Bhd., bekas Timbalan Pengurus Besar Pembinaan TH Properties Sdn. Bhd., bekas pengurus Safety and Health TH Properties serta bekas Pengarah TH Properties.

Dalam perkembangan berasi­ngan, seorang bekas menteri antara 11 individu yang ditahan melibatkan lapan kertas siasatan terbaharu yang dibuka oleh SPRM bermula 10 Ogos lalu.

Katanya, kebanyakan siasatan melibatkan isu pelaburan yang bermasalah dan kini masih dalam siasatan.

Menurutnya, daripada lapan kertas siasatan tersebut, seramai 11 orang telah ditangkap iaitu bekas Pengarah Urusan LTH, Pengarah Syarikat Putrajaya Perdana, bekas Pengarah Putra Perdana Construction Sdn. Bhd., bekas Pengerusi Lembaga

Tabung Haji, bekas Pengarah Putrajaya Perdana Berhad serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alam Maritim Sdn. Bhd.

Turut ditahan ialah bekas Pengurus Besar Kanan Haji LTH, bekas Pengurus Besar Kanan Bahagian Korporat Kewangan dan Perkhidmatan LTH, bekas Pengurus Besar Kanan Bahagian Korporat Kewangan dan Per­khidmatan LTH, bekas Penasihat Undang-Undang LTH serta bekas menteri. – UTUSAN

The post RCI TH: Beberapa individu didakwa hari ini, esok appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved