RCI TH: Jangan hanya tahan menteri sahaja, siasat juga Asyraf Wajdi – AMK

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 11:36 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RCI TH: Jangan hanya tahan menteri sahaja, siasat juga Asyraf Wajdi – AMK

KUALA LUMPUR: Susulan penahanan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Angkatan Muda Keadilan (AMK) berpendapat pihak berkenaan harus menyiasat juga Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menjadi timbalannya pada masa itu.

Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, siasatan itu tidak sepatutnya berhenti setakat itu sahaja dan kalau benar pihak berkuasa sedang menyiasat segala urusan dan keputusan yang berlaku ketika itu, maka semua pihak yang mempunyai kaitan wajar dipanggil dan diambil keterangan termasuk Asyraf Wajdi.

“Saya bukan mengatakan beliau bersalah. Tetapi kalau kita benar-benar mahu mencari kebenaran, semua nama yang terlibat harus di panggil ke meja siasatan kerana pada tahun 2017, Asyraf Wajdi hadir dalam majlis memeterai perjanjian pajakan hotel antara Tabung Haji dan Al-Rawda.

“Beliau hadir atas kapasiti sebagai Timbalan Menteri dan Ketua Jemaah Haji Malaysia, mewakili Menteri ketika itu. Jadi saya ingin bertanya, apa yang beliau tahu tentang urusan tersebut? Apa peranan beliau ketika itu?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, seorang bekas menteri tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi menghadapi permohonan reman SPRM susulan siasatan berkaitan laporan RCI TH.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman mengesahkan penahanan individu tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Mengulas lanjut, Dzul Hilmi turut mahu bertanya kepada Asyraf Wajdi, adakah beliau pernah terlibat dalam mana-mana proses atau keputusan berkaitan dan apakah maklumat atau dokumen yang beliau boleh bantu jelaskan kepada pihak penyiasat?

Katanya, kalau beliau tidak terlibat dan tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan sebarang salah laku, apa yang perlu ditakutkan.

“Pihak berkuasa boleh panggil, soal, dan ambil keterangan dan Asyraf Wajdi kena ambil peluang ini untuk membersihkan nama baik.

“Jika Asyraf Wajdi tidak disiasat maka, rakyat terus tertanya-tanya dan membuat kesimpulan sendiri. Apa yang saya tidak mahu ialah rakyat melihat orang yang tidak terlibat dalam pentadbiran kerajaan disiasat manakala yang berada di dalam pentadbiran dibiar dan di diamkan begitu sahaja seolah-olah tidak perlu disentuh,” katanya.

Pada masa sama, katanya, undang-undang mesti sama untuk semua. Jangan kerana seseorang itu ada kedudukan politik, maka namanya tidak boleh disebut dan jangan pula kerana seseorang itu tidak berada dalam kelompok tertentu, maka dia lebih mudah dijadikan sasaran.

Oleh itu, beliau mendesak SPRM dan PDRM supaya menjalankan siasatan ini secara menyeluruh dan professional tanpa ada pilih kasih dan jangan melindungi sesiapa.

“Kalau tidak bersalah, lepaskan dan bersihkan nama. Tetapi jangan biarkan persoalan rakyat terus tergantung. Rakyat berhak tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada institusi yang mereka amanahkan dengan wang dan harapan mereka.

“Ini bukan soal dendam politik. Ini soal amanah. Saya tidak meminta sesiapa dihukum tanpa bukti. Saya cuma mahu pihak berkuasa siasat semua yang berkaitan.

“Jangan ada double standard dan jangan ada sesiapa yang dikecualikan hanya kerana mempunyai kedudukan politik. Kalau benar kita mahu mencari kebenaran, jangan takut untuk buka semua pintu siasatan,” katanya. – UTUSAN

The post RCI TH: Jangan hanya tahan menteri sahaja, siasat juga Asyraf Wajdi – AMK appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved