RCI TH: Pihak bersalah perlu tanggung akibat

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 8:26 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RCI TH: Pihak bersalah perlu tanggung akibat

PUTRAJAYA: Mana-mana individu yang didapati terlibat dalam penyelewengan, pecah amanah atau pelanggaran tadbir urus berdasarkan dapatan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pe­ngurusan Tabung Haji (TH) perlu menanggung akibatnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak ada siapa yang akan dilindungi termasuk jika yang terbabit itu ada kaitan dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Beliau yang juga Pengerusi BN menegaskan, sekiranya terdapat individu atau pihak melakukan kesalahan mereka perlu berdepan de­ngan tindakan akibat daripada perbuatan tersebut.

Bagaimanapun, belia berkata, segala tindakan susulan terhadap laporan RCI itu akan ditentukan selepas pembentangan dan perbahasan dibuat di Dewan Rakyat.

“Pembentangan akan dilakukan pada 11 Ogos ini di Dewan Rakyat dan perbahasan akan diadakan.

“Pendirian BN dan UMNO, jika benar ada individu ataupun sekumpulan pihak yang me­lakukan penyelewengan atau pecah amanah atau melakukan kerja-kerja tadbir urus yang tidak selari dengan tata kelola sesebuah organisasi kerajaan, apatah lagi badan berkanun, maka konsekuensinya akan dihadapi oleh mereka.

“Saya tidak fikir kita harus berkompromi jika unsur-un­sur negatif itu dilakukan oleh mereka,” katanya selepas menghadiri Maj­lis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, semalam.

Beliau mengulas saranan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin supaya ke­rajaan tidak mengambil tindakan terhadap pihak yang dikaitkan dalam laporan RCI berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, se­kira­nya laporan RCI itu hanya mengandungi syor atau rekomendasi tanpa membuktikan sebarang salah laku, maka perkara tersebut perlu diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Tetapi jika berlaku sebaliknya, maka tentunya laporan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja itu hanya mengemukakan rekomendasi.

“Apakah tindakan selanjut­nya akan dilakukan, kita akan bahaskan dan bincangkan pada 11 Ogos ini di Dewan Rakyat nanti,” katanya.

Pada 31 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa satu sidang khas Parlimen akan diadakan pada 11 Ogos untuk membahaskan penemuan laporan RCI mengenai TH.

Sidang khas tersebut diadakan susulan keputusan Jemaah Menteri untuk menyahklasifikasikan laporan berkenaan dan membolehkan agensi penguat kuasa menjalankan siasatan lanjut berdasarkan dapatan yang dikemukakan.

Laporan RCI itu antara lain mengesyorkan pelaksanaan audit forensik terhadap beberapa keputusan pelaburan lampau yang dikatakan menyumbang kepada kemerosotan ketara nilai aset TH. – UTUSAN

The post RCI TH: Pihak bersalah perlu tanggung akibat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved