
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (3 September), media melaporkan pendedahan Pengerusi Tabung Haji (TH), Tan Sri Rashid Hussain mengenai dakwaan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad yang berasa terkilan kerana tidak dipanggil ketika sesi prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH dijalankan.
Jelas Rashid, suruhanjaya itu telahpun menyerahkan sepina atau perintah mahkamah kepada Madinah bagi membolehkan dia untuk hadir memberi keterangan kepada panel siasatan.
Namun dakwanya, Madinah telah memohon untuk hadir bersama Timbalan Pengarah Bahagian Audit Kewangan, Dr Mona Othman pada ketika itu dan permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi.
Madinah Balas Kenyataan Rashid, Dakwa Kenyataan Pengerusi TH Tak Tepat
Terbaharu, Madinah tampil membalas kenyataan Rashid yang juga ahli RCI itu.
“Saya hadir kerana sepina yang diterima tetapi disuruh pulang tanpa dipanggil memberi keterangan dalam prosiding di hadapan RCI mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) pada tarikh ditetapkan mereka,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.
Malah, Madinah turut menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Rashid berhubung isu kehadirannya ketika prosiding tersebut adalah tidak tepat.
Madinah Tegas Tak Pernah Minta Masuk Ke Bilik Prosiding Bersama Mona
Tegas Madinah, dia sama sekali tidak pernah meminta untuk masuk ke bilik prosiding RCI bersama Mona.
Sebaliknya, Mona hanya bersamanya di luar bilik prosiding untuk bersiap sedia sekiranya memerlukan maklumat teknikal tambahan mengenai isu TH.
“Tidak tepat kenyataan itu kerana saya tidak pernah minta untuk hadir dalam bilik prosiding bersama Mona sebaliknya Mona hanya ‘standby’ di luar sekiranya ada soalan berkaitan bentuk teknikal.
“Tidak pernah saya minta untuk masuk ke dalam bilik prosiding bersama Mona. Ketika itu (petugas) sekretariat keluar daripada bilik prosiding dan memaklumkan saya tidak perlu masuk dan meminta saya balik.
“Sekiranya benar tak boleh bawa Mona masuk, mengapa tak dimaklumkan kepada saya dan hanya saya disuruh pulang. Apabila saya tanya mengapa? Beliau menyatakan tidak pasti,” jelasnya.
Madinah Akui Ada Terima Sepina, Turut Tegaskan Jawapan Bertulis 75 Soalan Tak Boleh Diganti Dengan Hujah Lisan
Pada masa sama, Madinah mengakui dirinya ada menerima sepina bagi memberi keterangan kepada anggota suruhanjaya.
Atas dasar itulah dia telah hadir ke prosiding yang dijalankan pada 3 Jun 2022.
Madinah turut mengulas mengenai peluang yang diberikan RCI kepada beliau untuk mengemukakan jawapan bertulis bagi 75 soalan yang dikemukakan.
Tegasnya, jawapan bertulis itu tidak boleh menggantikan hujah lisan.
“Memang saya ada beri afidavit tetapi tidak boleh menggantikan hujah lisan. Mereka perlu dengar apa yang saya perlu katakan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Madinah yang berkhidmat pada tahun 2017 sehingga 2019 sebagai KAN meluahkan rasa terkilan dan menjelaskan haknya untuk didengari dinafikan.
Ia selepas Madinah mendakwa dirinya tidak dipanggil ketika prosiding tersebut meksipun telah menghadirkan diri untuk memberi keterangan di pejabat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Baca Artikel Berkaitan: RCI TH: Dakwaan Bekas Ketua Audit Negara Tak Dijemput Ke Prosiding Adalah Tidak Benar – Pengerusi TH
Baca Artikel Berkaitan: “Hak Saya Untuk Didengari Dinafikan” – Bekas Ketua Audit Negara Terkilan Tak Dipanggil Ketika Prosiding RCI TH






