
PETALING JAYA – Semua gabungan politik utama negara termasuk Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai ‘saham’ masing-masing dalam kemelut membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH).
Bekas Timbalan Presiden PKR dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai kesalahan satu pihak sahaja memandangkan setiap gabungan pernah memainkan peranan dalam episod berbeza melibatkan TH.
“Setiap gabungan parti politik (PH, BN, PN) ada saham dalam apa yang berlaku. Penyelewengan dan salah urus tadbir berlaku di bawah BN sehingga rizab Tabung Haji menjadi negatif dan berlaku kerugian berbilion ringgit,” katanya menerusi hantaran di laman Threads hari ini.
Menurut Rafizi, Pas pula didakwanya cuba ‘mensucikan’ perkara tersebut selain mengulangi dakwaan kononnya aset TH dijual kepada bukan Islam bagi mempertahankan UMNO.
Katanya, PN juga mempunyai persoalan yang perlu dijawab apabila didakwa tidak membayar RM1.5 bilion yang sepatutnya disalurkan kepada TH dengan alasan pandemik Covid-19.
“PN tidak bayar RM1.5 bilion yang sepatutnya dibayar kepada TH atas alasan Covid, tetapi guna wang buat Jana Wibawa boleh pula,” katanya.
Rafizi pada masa sama tidak melepaskan PH daripada kritikan apabila mendakwa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH ‘diperam’ selama tiga tahun demi menjaga hubungan politik dengan UMNO.
“PH peram laporan RCI Tabung Haji selama tiga tahun untuk jaga hati UMNO, hanya buat keluar bila saya cuit untuk tunjukkan kompromi politik yang telah dibuat,” dakwanya.
Beliau turut membangkitkan isu pembayaran RM11.5 bilion yang menurutnya sepatutnya dilunaskan kepada TH mengikut perjanjian sukuk Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) pada Mei lalu.
Dakwanya, komitmen berkenaan sebaliknya dilanjutkan sehingga 2036 sekali gus menimbulkan persoalan mengenai alasan kerajaan berbuat demikian.
Rafizi berkata, keadaan tersebut akhirnya memberi kesan kepada warga TH yang perlu bertungkus-lumus menyelesaikan masalah ditinggalkan sedangkan pemain politik datang dan pergi tanpa memberi tumpuan sepenuhnya terhadap proses pemulihan institusi itu. – KOSMO! ONLINE
The post RCI TH: Semua parti ada ‘saham’ dalam kemelut Tabung Haji – Rafizi appeared first on Kosmo Digital.





