RCI TH: Siasat Tabung Haji ikut proses, bukan kerana dendam - Anwar

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 6:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RCI TH: Siasat Tabung Haji ikut proses, bukan kerana dendam - Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Himpunan Anak Muda (HAMKA) Antarabangsa 2026 hari ini. - Bernama

KLANG - Siasatan terhadap sebarang salah laku membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dilakukan mengikut proses undang-undang, bukan atas dasar dendam atau kepentingan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pihak berkuasa yang mempunyai bidang kuasa perlu menjalankan siasatan, manakala keputusan mengenai kesalahan dan hukuman hendaklah diserahkan kepada mahkamah.

"Siasat itu badan siasatan, buat pertuduhan itu Peguam Negara. Hukuman, para hakim dan itu bukan urusan Perdana Menteri,” katanya semasa menjawab soalan daripada salah seorang mahasiswa ketika Sesi Temu Anwar pada Himpunan Anak Muda (HAMKA) Antarabangsa 2026 di sini pada Khamis.

Anwar berkata, kerajaan tidak boleh mengambil tindakan berdasarkan persepsi atau menjatuhkan hukuman terhadap seseorang tanpa melalui proses sewajarnya.

Menurutnya, beliau sendiri pernah melalui proses undang-undang dan memahami kesan apabila seseorang berdepan pertuduhan serta hukuman.

"Saya tak mahu orang yang tak bersalah didakwa, tapi kalau dia dah bersalah, itu ikut proses," katanya.

Beliau berkata, siasatan berkaitan TH perlu dilaksanakan secara telus bagi memastikan sebarang kelemahan atau salah laku yang didedahkan dapat ditangani tanpa melindungi mana-mana pihak.

Anwar turut menegaskan, tindakan terhadap isu berkaitan TH bukan didorong perasaan dendam, sebaliknya bagi memastikan amanah pendeposit dan kepentingan umat Islam terus terpelihara.

Katanya, TH bukan sekadar institusi kewangan, sebaliknya sebuah institusi yang mempunyai kedudukan penting kepada umat Islam dan perlu diurus secara amanah serta berintegriti.

"Ini bukan soal parti, sebaliknya ia soal satu institusi yang perlu dipelihara,” tegas beliau.

Beliau berkata, kerajaan mahu memastikan TH kembali menjadi institusi yang kukuh, cekap dan menjadi kebanggaan umat Islam.

"Kerajaan juga mahu memastikan kelemahan pengurusan pada masa lalu tidak berulang," tambah beliau.

 

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved