
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh individu, termasuk seorang wanita, seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat serta empat bekas anggota pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH), bagi membantu siasatan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Suspek pertama yang ditahan ialah seorang CEO syarikat perkapalan berusia lingkungan 60-an yang mempunyai gelaran Datuk.
Beliau dipercayai menyerahkan dokumen mengandungi butiran palsu ketika membuat pembayaran kepada TH, termasuk memalsukan dokumen kontrak sebuah syarikat petroleum bagi memberi manfaat kepada syarikatnya.
Dua lagi suspek, masing-masing bergelar Datuk dan Datuk Seri berusia lingkungan 60-an pula ditahan kerana disyaki memperdaya pegawai TH supaya membuat pelaburan dalam sebuah syarikat pembinaan.
Mereka dipercayai meyakinkan pegawai terbabit bahawa syarikat berkenaan mempunyai potensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Sementara itu, empat bekas anggota pengurusan kanan TH yang berusia antara 50-an dan 60-an, termasuk seorang Datuk Seri dan seorang wanita, ditahan kerana disyaki terbabit dalam amalan rasuah.
Kes tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan keputusan TH memeterai perjanjian pajakan bagi empat buah hotel dengan sebuah syarikat di Arab Saudi bernilai keseluruhan SR2.49 bilion, yang mengakibatkan kerugian kepada TH.
Bagaimanapun, hanya dua suspek lelaki, iaitu CEO syarikat perkapalan dan seorang pengarah syarikat pembinaan yang bergelar Datuk, direman.
Lima suspek lain dibebaskan dengan jaminan SPRM atas faktor masalah kesihatan.
Perintah reman selama lima hari sehingga 19 Ogos terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Afiq Hasan selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi ini.
Menurut sumber, kesemua suspek ditahan secara berperingkat antara kira-kira jam 3 petang hingga 10.30 malam semalam di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Penahanan itu merupakan susulan siasatan pasukan khas ditubuhkan SPRM, bagi meneliti dan menyemak hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH yang telah didedahkan kepada umum.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Sri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. - Getaran, 15 Ogos 2026






