
PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh individu termasuk seorang wanita terdiri daripada seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Sumber berkata, suspek pertama, seorang CEO syarikat perkapalan bergelar Datuk berusia dalam lingkungan 60-an, ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran matan palsu ketika membuat bayaran kepada TH melibatkan pemalsuan dokumen kontrak sebuah syarikat petroleum untuk kepentingan syarikat miliknya.
“Suspek kedua dan ketiga, masing-masing bergelar Datuk dan Datuk Seri serta berusia dalam lingkungan 60-an, pula ditahan kerana disyaki memperdayakan pegawai TH untuk membuat pelaburan ke sebuah syarikat pembinaan dengan menjanjikan potensi syarikat akan disenaraikan ke Bursa Malaysia.
“Empat bekas pengurusan kanan TH berusia dalam lingkungan 50-an dan 60-an pula, termasuk seorang bergelar Datuk Seri dan seorang wanita, ditahan kerana disyaki terlibat dengan amalan rasuah sehingga mendorong TH memasuki perjanjian pajakan empat buah hotel dengan sebuah syarikat di Arab Saudi berjumlah SR2.49 bilion yang telah menyebabkan kerugian kepada TH,” katanya di sini, hari ini.
Tambah sumber, bagaimanapun, hanya dua suspek lelaki iaitu CEO syarikat perkapalan dan pengarah syarikat pembinaan bergelar Datuk direman, manakala lima lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM kerana masalah kesihatan.
Perintah reman selama lima hari sehingga 19 Ogos 2026 terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Ahmad Afiq Hasan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
“Kesemua suspek telah ditahan secara berperingkat kira-kira pukul 3 petang hingga 10.30 malam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, semalam,” katanya.
Ujarnya, tahanan reman itu adalah susulan siasatan oleh pasukan khas yang ditubuhkan SPRM bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan RCI Tabung Haji yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam pada 29 Julai 2026.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE
The post RCI Tabung Haji: SPRM tahan tujuh individu termasuk bekas pengurusan kanan TH appeared first on Kosmo Digital.






