
PETALING JAYA: Tujuh individu termasuk bergelar Datuk dan Datuk Seri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).
Mereka terdiri daripada seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan TH.
Kesemua suspek ditahan secara berperingkat antara pukul 3 petang hingga 10.30 malam di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, semalam.
Menurut sumber, suspek pertama ialah CEO sebuah syarikat perkapalan bergelar Datuk berusia lingkungan 60-an yang ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu ketika membuat bayaran kepada TH.
“Suspek berkenaan disyaki memalsukan dokumen kontrak sebuah syarikat petroleum bagi kepentingan syarikat miliknya.
“Suspek kedua dan ketiga yang masing-masing bergelar Datuk dan Datuk Seri serta berusia lingkungan 60-an pula ditahan kerana disyaki memperdayakan pegawai TH supaya membuat pelaburan dalam sebuah syarikat pembinaan dengan menjanjikan potensi syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Sumber berkata, empat lagi suspek terdiri daripada bekas pengurusan kanan TH berusia lingkungan 50-an dan 60-an, termasuk seorang bergelar Datuk Seri serta seorang wanita.
“Mereka disyaki terlibat dalam amalan rasuah sehingga mendorong TH memasuki perjanjian pajakan empat hotel dengan sebuah syarikat di Arab Saudi bernilai SR2.49 bilion yang mengakibatkan kerugian kepada TH,” jelasnya.
Bagaimanapun, kata sumber, hanya dua suspek lelaki iaitu CEO syarikat perkapalan dan pengarah syarikat pembinaan bergelar Datuk direman manakala lima lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor masalah kesihatan.
Penahanan itu susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan SPRM bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, perintah reman selama lima hari sehingga 19 Ogos ini terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Ahmad Afiq Hasan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.-UTUSAN
The post RCI TH : Tujuh termasuk bergelar Datuk Seri ditahan SPRM appeared first on Utusan Malaysia.






