RCI TH: Tiada Siapa Akan Dilindungi, SPRM & PDRM Lancar Siasatan - Menteri

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 2:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah laku membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH), susulan penemuan yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, Kabinet pada bulan lalu bersetuju supaya agensi penguatkuasaan mengambil tindakan segera terhadap perkara yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.

Menurut beliau, beberapa individu yang dikenal pasti dalam penemuan RCI telah ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.

Dr Zulkifli Hasan
Dr Zulkifli Hasan

Zulkifli menegaskan, kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab atas penyalahgunaan kuasa atau pecah amanah berkaitan dana serta aset TH yang diamanahkan bagi kepentingan jemaah haji Malaysia.

“Tindakan yang diambil menunjukkan bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan membabitkan wang rakyat,” katanya ketika berucap pada persidangan khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, siasatan itu turut selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya penemuan dalam laporan RCI disiasat secara menyeluruh dan telus.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli berkata TH kini telah melaksanakan lebih 75 peratus daripada syor yang dikemukakan RCI bagi memperkukuh tadbir urus institusi berkenaan, manakala bakinya masih dalam proses pelaksanaan.

Bagaimanapun jelas beliau, pihak yang menguruskan TH pada ketika itu tidak boleh mendakwa mereka tidak mengetahui mengenai masalah kewangan yang dihadapi institusi berkenaan.

Menurutnya, Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini telah mengeluarkan lima surat amaran kepada pengerusi TH serta menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama ketika itu berhubung kebimbangan mengenai jurang antara aset dan liabiliti TH.

“Mereka telah diberi amaran sebanyak lima kali bahawa perkara itu perlu ditangani segera bagi mengelakkan TH terus melanggar keperluan kewangan,” katanya.

Zulkifli berkata, amaran BNM itu dikeluarkan susulan kebimbangan bahawa ketidakseimbangan kewangan berkenaan boleh menjejaskan kestabilan TH, selain berpotensi menimbulkan risiko lebih besar terhadap sistem kewangan negara.

“Bagaimanapun, amaran tersebut tidak diambil tindakan sewajarnya oleh kepimpinan TH pada ketika itu, meskipun risiko berkenaan telah dibangkitkan oleh bank pusat,” katanya. - Getaran, 11 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved