
Beliau tidak mendapat sebarang maklumat rasmi mengenai penahanan mana-mana pemimpin kanan parti berkenaan, berhubung perkara itu.
KUALA LUMPUR: UMNO tiada sebarang halangan untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi mendakwa mana-mana pemimpin kanan parti itu sekiranya terdapat bukti mereka terlibat dalam isu Lembaga Tabung Haji (TH).
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bagaimanapun, beliau tidak mendapat sebarang maklumat rasmi mengenai penahanan mana-mana pemimpin kanan parti berkenaan, berhubung perkara itu.
“…tetapi pendirian kami ialah bahawa jika ada bukti-bukti yang kukuh untuk pendakwaan dilakukan, kita tidak ada sebarang halangan untuk memberikan kerjasama kepada SPRM, untuk melakukan pendakwaan.
“Namun, lazimnya sebelum pendakwaan itu dilakukan, tentunya ia dimulakan dengan siasatan dan siasatan itu hendaklah dibuat secara adil dan telus,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran “Buku 13 Propaganda Perang Sun Tzu” bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO 2026, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lagi pemimpin kanan UMNO difahamkan bakal dipanggil SPRM pada minggu hadapan, bagi membantu siasatan kes berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Menurut sumber, pemimpin terbabit yang memegang kedudukan penting dalam UMNO itu diberi “masa” untuk menyelesaikan urusan perhimpunan agung parti itu yang bermula 9 hingga 12 Sept ini.
Semalam, bekas Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, antara tiga individu diheret ke mahkamah untuk berdepan tindakan undang-undang dan direman bagi membantu siasatan kes berkaitan laporan RCI TH.






