
Kota Kinabalu: Kelab Rotari Kota Kinabalu Pearl (RCKK Pearl) melalui Jawatankuasa Khidmat Komunitinya dengan kerjasama Sabah Credit Corporation (SCC) membawa senyuman dan kelegaan kepada 55 pelajar sekolah rendah dan menengah dari Penampang yang kehilangan keperluan sekolah mereka akibat banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.
Pakaian seragam sekolah, kasut, beg sekolah dan alat tulis yang ditaja oleh SCC diagihkan kepada pelajar-pelajar terjejas disaksikan oleh ahli keluarga mereka, ahli Wanita PGRS serta ahli-ahli RCKK Pearl.
Bantuan terbabit disampaikan bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif SCC Datuk George Taitim Tulas, bekas presiden dan Pengerusi Khidmat Komuniti RCKK Pearl Datuk Aminah Ambrose, Naib Presiden RCKK Pearl Datuk Eliza Goh dan Ketua Anak Negeri (Kan) Viola Dompok.
Dalam ucapannya George memuji ketabahan pelajar dan keluarga yang terjejas sambil menggalakan mereka agar terus kuat dan fokus terhadap pelajaran.
Beliau juga memberi jaminan bahawa badan korporat itu akan terus memainkan peranan membantu mangsa-mangsa bencana.
“SCC kekal komited terhadap inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) khususnya dalam membantu mereka yang memerlukan.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan organisasi seperti RCKK Pearl yang menunjukkan semangat belas ihsan dan kerja berpasukan yang benar-benar memberi impak,” katanya.
Beliau turut memuji RCKK Pearl atas usaha berterusan mereka dalam membantu masyarakat dan juga respons pantas kelab berkenaan menghulurkan bantuan kecemasan banjir sama ada melalui sumbangan langsung kelab, inisiatif bersama Rotari atau kerjasama dengan entiti korporat serta institusi kewangan.
Sementara itu Aminah yang juga Ahli Lembaga Pengarah SCC berkata inisiatif itu tercetus selepas mendapar panggilan daripada Viola yang memaklumkan tentang pelajar-pelajar yang kehilangan barangan sekolah akibat bencana itu.
“Mungkin nampak kecil tetapi bagi ibu bapa yang terjejas bantuan ini memberi kelegaan besar.
“Saya amat berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif SCC atas sokongan pantas yang diberikan,” katanya.




