
Masa depan Maverick Vinales terus menjadi tanda tanya selepas pelumba Sepanyol itu mendedahkan pengalaman mengecewakan yang dialaminya bersama KTM sehingga menyebabkan beliau hilang kepercayaan terhadap pengeluar Austria itu.
Kenyataan tersebut hadir ketika spekulasi mengenai barisan pelumba KTM bagi musim 2027 semakin hangat diperkatakan. Sebelum ini, Vinales juga dilaporkan kecewa apabila tidak diberi peluang menguji jentera MotoGP generasi baharu, GP27, sedangkan KTM dikatakan sudah mula merancang masa depan bersama pelumba lain.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila laporan media antarabangsa mendakwa KTM telah memilih Fabio Di Giannantonio dan Alex Marquez sebagai antara pelumba pilihan bagi musim hadapan, sekali gus meletakkan kedudukan Vinales dalam keadaan tidak menentu.
Menurut Vinales, segala-galanya bermula selepas perlumbaan di Montmelo apabila beliau mengetahui menerusi laporan media bahawa tempatnya dalam perancangan KTM bakal digantikan oleh Fabio Di Giannantonio.
Ketika tiba di Mugello, KTM kemudiannya menghantar satu kontrak menerusi e-mel. Walaupun mengakui syarat kontrak itu tidak begitu memihak kepadanya, Vinales tetap menandatanganinya kerana beliau masih percaya dengan kemampuan jurutera dan potensi projek MotoGP KTM.
“Mereka menghantar kontrak kepada saya melalui e-mel. Saya tandatangan. Memang kontrak itu tidak begitu baik untuk saya, tetapi saya tetap mahu berlumba.”
Namun hanya dua minggu kemudian, beliau mendakwa dimaklumkan bahawa kontrak tersebut sebenarnya tidak sah.
Situasi itu jelas mengecewakan Vinales kerana merasakan tindakan tersebut tidak profesional dan menjejaskan kepercayaan yang telah diberikan kepada pasukan.
“Selepas dua minggu, mereka beritahu kontrak itu langsung tidak sah. Jadi apa yang boleh saya harapkan? Saya tidak mahu berada di sini lagi. Itu bukan sesuatu yang serius daripada pihak mereka.”
Pelumba berusia 31 tahun itu turut mengakui pengalaman tersebut membuatkan dirinya semakin penat dengan dunia MotoGP.
“Sebab itu saya benar-benar sudah penat dengan dunia ini.”
Dengan hubungan yang dilihat semakin renggang, kenyataan Vinales dijangka terus menghangatkan spekulasi perpindahannya. Setakat ini, KTM masih belum mengumumkan secara rasmi barisan pelumba bagi musim 2027, namun perkembangan terbaru ini memberi bayangan bahawa Vinales mungkin tidak lagi berada dalam perancangan jangka panjang pasukan tersebut.
The post “Saya Tandatangan, Kemudian Mereka Kata Kontrak Itu Tidak Sah” – Maverick Vinales Kecewa Dengan KTM appeared first on TW Media.




