
Selepas Yamaha mengesahkan Jorge Martin dan Ai Ogura sebagai gandingan rasmi pasukan kilang bagi musim 2027, masa depan Alex Rins dalam MotoGP akhirnya semakin jelas. Juara enam kali perlumbaan MotoGP itu mengakui tiada lagi tempat buatnya di paddock dan kini memberi tumpuan untuk mencari peluang baharu di Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK).
Rins mengakui tiga musim terakhir bukanlah tempoh terbaik dalam kariernya. Prestasi yang merosot akibat kecederaan dan jentera yang kurang kompetitif menyebabkan beliau semakin jauh daripada perebutan podium. Justeru, pelumba Sepanyol itu hanya mahu menamatkan baki perlumbaan MotoGP musim ini dengan penuh bermaruah sebelum membuka lembaran baharu.
Apa yang menjadi sasaran utama Rins bukan sekadar tempat di WorldSBK, tetapi sebuah jentera yang benar-benar mampu membawanya kembali bersaing di kelompok hadapan. Namun laluan itu bukan mudah. Sekiranya Nicolo Bulega benar-benar berhijrah ke MotoGP bersama VR46, kerusi Ducati Factory WorldSBK bakal menjadi rebutan beberapa nama besar MotoGP seperti Brad Binder, Jack Miller, Maverick Viñales dan Franco Morbidelli.
Rins turut menegaskan beliau masih mahu berlumba dan menolak peranan sebagai pelumba ujian. Malah, jika peluang terbaik bukan di WorldSBK, beliau sanggup mempertimbangkan MotoAmerica atau bahkan perlumbaan rali, asalkan dapat kembali menikmati perlumbaan. Bagi seorang pelumba yang pernah menewaskan nama-nama besar di MotoGP, ini mungkin bukan penamat karier, sebaliknya permulaan kepada satu cabaran baharu.
Teruskan bersama Two Wheels..!
The post “Saya Mahu Berlumba Lagi…” – Alex Rins Redha Tinggalkan MotoGP, Kini Intai WorldSBK appeared first on TW Media.




