redONE lancar redCASH-i, pembiayaan peribadi patuh syariah untuk pelanggan pascabayar

17/07/2025 - 17:42
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 17 Julai – redONE Mobile memperluaskan penawarannya dalam sektor kewangan digital dengan pelancaran redCASH-i, produk pembiayaan peribadi patuh Syariah yang menyasarkan pelanggan pascabayar syarikat itu.
Menerusi redCASH, redONE Mobile mencipta sejarah sebagai Pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO) pertama di Malaysia yang menawarkan pembiayaan peribadi secara langsung kepada pelanggan pascabayarnya
Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Ameen Amaendran berkata, redCASH-i yang ditawarkan secara eksklusif kepada pelanggan dengan rekod pembayaran baik sekurang-kurangnya enam bulan, membolehkan pelanggan memohon pembiayaan antara RM1,000 hingga RM10,000, dengan tempoh pembayaran semula sehingga 24 bulan
“Keseluruhan proses permohonan dijalankan secara digital dan automatik, dengan kelulusan boleh diperoleh seawal satu hari bekerja, tanpa sebarang caj tersembunyi.
“Inisiatif ini membuktikan komitmen syarikat untuk menyediakan akses pembiayaan yang mudah dan beretika kepada pelanggan, khususnya golongan berpendapatan rendah serta mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal.
“redCASH-i bukan sahaja menambah nilai kepada perkhidmatan kami, tetapi juga menyokong matlamat jangka panjang redONE untuk muncul sebagai pemain fintech Islamik yang berpengaruh di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
redCASH-i dibangunkan melalui kerjasama dengan SEDANIA As Salam Capital Sdn Bhd (SASC), menggunakan platform digital Tawarruq – As-Sidq, dan telah diperakui patuh Syariah oleh Masyref Advisory Sdn Bhd.
SASC turut melihat pelancaran ini sebagai satu pencapaian penting dalam misi mereka untuk memperluas akses kepada pembiayaan patuh Syariah melalui saluran digital, dengan memberi fokus kepada impak sosial yang lestari.
Ketua Pegawai Eksekutif SASC, Khairul Nisa Ismail berkata, pihaknya teruja dengan kerjasama itu kerana permintaan terhadap pembiayaan patuh syariah yang semakin meningkat.
“Melalui platform As-Sidq dan Program Pembiayaan GoHalal, kerjasama ini membolehkan kami memperluas misi memperbaiki kehidupan sambil memacu pembangunan ekosistem fintech Islamik secara lebih meluas dan berimpak,” katanya.
Menerusi pendekatan ini, redONE kini bukan sahaja berperanan sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi, malah berupaya menjadi platform kepada penyelesaian kewangan Islamik yang inklusif dan progresif, sejajar dengan aspirasi menuju ke arah ekonomi digital yang lebih mampan.
Dalam pada itu, Pengarah Masryef Advisory, Khairil Anuar pula berkata, pihaknya telah memastikan setiap aspek dalam pembiayaan itu bukan sekadar berpaksikan prinsip-prinsip Islam, malah turut responsif terhadap keperluan pengguna masa kini yang semakin luas.
“Dengan kepakaran mendalam dalam bidang nasihatSyariah dan pembangunan produk Islamik, kami berbangga dapat menyokong penyelesaian kewangan inovatif seperti redCASH-I, satu inisiatif yang mengekalkan standard pematuhan syariah yang tinggi dan positif untuk menggalakkan kesedaran kewangan Islam dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Pelanggan pascabayar redONE Mobile yang layak boleh membuat permohonan di pautan https://www.redcash.com.my/redcash-i. - DagangNews.com
standard
