hamden12/05/2026 - 11:17 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Mei - Kerajaan digesa menjelaskan dengan terperinci cadangan reformasi subsidi bahan api RON95 bagi mengelak rakyat panik, tegas Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.
Beliau berkata, kerajaan perlu mendedahkan dengan jelas siapa yang akan terkesan oleh pelan rasionalisasi subsidi itu, bagaimana pendapatan akan dinilai, dan sama ada faktor seperti kos sara hidup, tanggungan, pinjaman serta keperluan perjalanan harian akan diambil kira.
Tegasnya lagi, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan label seperti T20, T15, T10 atau T5 dan mengharapkan rakyat tidak panik.
Tambahnya, kerajaan juga mesti mengelakkan daripada hanya bergantung kepada angka pendapatan semata-mata tanpa mengambil kira beban sebenar isi rumah yang ditanggung keluarga.
“Pendapatan tinggi tidak semestinya bermakna kaya. Sebuah isi rumah yang berada di atas garis T20 nasional mungkin masih bergelut teruk di Kuala Lumpur, Selangor atau Lembah Klang selepas membayar kos perumahan, pinjaman kereta, pendidikan anak-anak, insurans, ibu bapa warga emas dan kos sara hidup harian.
“Mereka bukan jutawan. Mereka adalah keluarga kelas pertengahan biasa yang bekerja keras semata-mata untuk meneruskan kehidupan,” katanya dalam kenyataan.

Lip Eng memberi amaran dengan bergantung kepada angka pendapatan, akan menyebabkan golongan isi rumah berpendapatan sederhana menerima kesan besar kerana walaupun kelihatan stabil dari segi kewangan di atas kertas tetapi sebenarnya mereka terus berdepan tekanan kewangan yang besar.
“Mereka memperoleh sedikit lebih pendapatan di atas kertas, tetapi beban mereka masih berat. Kerajaan melihat angka, tetapi tidak melihat tekanan,” katanya.
Beliau menambah golongan kelas pertengahan sudah dibebani cukai, peningkatan kos sara hidup, komitmen perumahan dan perbelanjaan pendidikan, dan tidak seharusnya dijadikan “sasaran paling mudah setiap kali kerajaan mahu berjimat”.
“Jangan jadikan kelas pertengahan sebagai ATM kerajaan. Rakyat yang bekerja keras, memperoleh pendapatan lebih tinggi dan berjaya meningkatkan taraf hidup sepatutnya diberi galakan, bukannya dihukum.
"Jika rakyat Malaysia mula percaya bahawa semakin kuat mereka bekerja, semakin banyak yang mereka rugi, negara akan membayar harga yang mahal,” katanya.
Artikel Berkaitan: Kerajaan perhalusi ambang pendapatan bagi penyasaran subsidi bahan api, kata Menteri Ekonomi
Oleh itu Lip Eng berkata, kerajaan mesti menjawab segala persoalan utama termasuk sama ada kelayakan akan ditentukan berdasarkan pendapatan individu atau isi rumah, serta sama ada faktor seperti lokasi tempat tinggal, bilangan anak, tanggungan warga emas, pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan dan jarak perjalanan harian akan diambil kira.
“Jika soalan-soalan ini tidak dapat dijawab dengan jelas, maka kerajaan belum bersedia untuk melaksanakan dasar ini,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Pangkalan Data Utama (PADU), yang dilaporkan menelan kos RM85.27 juta untuk dibangunkan dan dilaksanakan, benar-benar akan digunakan bagi memastikan dasar yang adil dan berasaskan data.
“Jika keputusan akhir masih dibuat berdasarkan label umum tanpa penilaian yang sewajarnya, maka apa gunanya PADU?” soalnya.
Lim turut menggesa kerajaan supaya segera mendedahkan mekanisme penuh reformasi subsidi itu termasuk had pendapatan, kaedah penilaian, proses rayuan dan pelan peralihan.
“Hentikan mencetuskan ketakutan dengan piawaian yang tidak jelas,” tambah beliau. - DagangNews.com





