amree03/11/2026 - 15:00 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Nov — Ketidaktentuan peraturan, perubahan dasar dan proses kelulusan yang kurang selaras antara cabaran utama industri pembangunan hartanah di Selangor ketika pemaju berdepan peningkatan kos serta permintaan terhadap rumah mampu milik berkualiti.
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Selangor justeru menggesa kerajaan negeri, agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar memperkukuh penyelarasan serta memastikan pelaksanaan konsisten bagi mewujudkan persekitaran pembangunan teratur.
Pengerusinya, Datuk Edward Chong Sin Kiat berkata, kejelasan mengenai aspek peraturan semakin penting berikutan peningkatan kos pembangunan, perubahan keadaan pasaran serta tuntutan terhadap penyediaan kediaman mampu milik secara berkualiti dan lebih mampan.
"Kepastian peraturan bukan bermaksud setiap permohonan pembangunan perlu diluluskan, sebaliknya pemaju perlu memahami syarat yang ditetapkan, kaedah keputusan dibuat serta pihak bertanggungjawab yang boleh membantu menyelesaikan isu pelaksanaan," tambah beliau.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena dengan Konvensyen Perumahan REHDA Selangor 2026 yang membincangkan mengenai pelbagai isu cabaran dan perkembangan semasa dalam sektor pembangunan hartanah negeri tersebut.
Ujar Sin Kiat, perancangan pembangunan secara berkesan, penyediaan infrastruktur mencukupi serta proses kelulusan yang diselaraskan amat penting bagi memastikan kediaman berkualiti dapat disediakan tanpa mengabaikan kepentingan pembeli rumah.

Sehubungan itu, REHDA Selangor komited bekerjasama dengan kerajaan negeri, agensi kerajaan dan PBT untuk menangani isu praktikal yang dihadapi industri, selain memastikan penambahbaikan peraturan tidak menjejaskan kualiti, kepentingan awam dan tanggungjawab pemaju.
"Antara perkara yang dibincangkan pada konvensyen berkenaan termasuk garis panduan perancangan, dasar perumahan negara, maklumat pasaran hartanah, pentadbiran tanah, proses bekalan elektrik serta pengurusan risiko geologi di negeri ini," jelas beliau.
REHDA Selangor kata Sin Kiat, turut mengadakan banyak sesi libat urus dengan agensi PLANMalaysia berhubung edisi kelima garis panduan perancangan negeri, termasuk mengemukakan maklum balas industri mengenai isu pelaksanaan yang memerlukan perhatian.
Selain itu tambahnya, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan platform digital dalam pembangunan hartanah turut menjadi tumpuan, khususnya potensi teknologi berkenaan meningkatkan kecekapan perancangan infrastruktur, pelaksanaan projek dan pengurusan bandar.
Kejayaan industri hartanah ujarnya, tidak harus diukur berdasarkan jumlah rumah dibina atau skala pembangunan, sebaliknya perlu mengambil kira keberkesanan penyampaian projek, keupayaan memenuhi keperluan rakyat serta sumbangan terhadap peningkatan kualiti hidup masyarakat di Selangor. - DagangNews.com






