
GUA MUSANG – Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesan rekahan jalan sepanjang 30 meter susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Lojing-Gua Musang (FT185) Seksyen 84.15 berhampiran Yayasan Albarakah, di Tanah Tinggi Lojing di sini, semalam.
Pengarah JKR Kelantan, Nik Badlihisham Nik Ismail berkata, kejadian itu membabitkan kawasan runtuhan sepanjang 20 meter dengan kedalaman 30 meter.
Katanya, lebar jalan di lokasi kejadian dianggarkan 10.40 meter dan kerosakan turut dikesan pada komponen sistem saliran cerun.
“Kerja-kerja pemantauan sedang dijalankan dan Tanda Maklumat Pemberitahuan telah dipasang di tapak.
“Laluan berkenaan masih dibuka kepada semua kenderaan dan tiada laluan alternatif disediakan setakat ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan pengguna jalan raya perlu mematuhi tanda amaran yang dipasang pihak berkuasa serta berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng berkata, laluan itu merupakan nadi utama yang digunakan lebih 100 kenderaan untuk menghantar bekalan sayur-sayuran dari Cameron Highlands ke pasaran Pantai Timur setiap hari.
Katanya, jalan berkenaan bukan sahaja menjadi laluan penting untuk ke Cameron Highlands tetapi juga ke Ipoh, Perak. – KOSMO! ONLINE
The post Rekahan jalan sepanjang 30 meter dikesan di Lojing appeared first on Kosmo Online.





