
GEORGE TOWN : Seorang remaja berusia 19 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melanggar seorang lelaki dengan sebuah kereta sehingga menyebabkan kecederaan, hampir dua minggu lalu.
Tertuduh, Lim Boon Sik, 19, yang bekerja sebagai pelayan restoran membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam dialek Hokkien di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melanggar seorang lelaki berusia 25 tahun dengan kereta jenis Perodua Axia sehingga menyebabkan kecederaan pada 29 Ogos 2026 kira-kira pukul 12.30 pagi, di sebuah lokasi di Tepi Jalan Paya Terubong 3, Bandar Baru, dalam daerah Timur Laut, Pulau Pinang.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda dan jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada mana-mana individu pula, hukuman penjara boleh dinaikkan sehingga 20 tahun.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh dan mengenakan syarat iaitu tertuduh tidak dibenarkan menganggu mana-mana saksi serta perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Peguam tertuduh yang hanya dikenali sebagai Tan dalam rayuannya kemudian memohon agar jaminan lebih rendah diberikan dengan alasan anak guamnya masih muda, mempunyai alamat tetap sedia memberi kerjasama kepada pihak polis dan tidak akan mengganggu saksi pendakwaan seperti diarahkan oleh mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan perlu melaporkan diri di balai polis. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 7 Oktober depan bagi tujuan serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 23 individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes merusuh menggunakan senjata di hadapan sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Ayer Itam, pada 29 Ogos lalu.
Turut ditahan ialah seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba melanggar seorang lelaki lain dengan kereta susulan kejadian berkenaan.-UTUSAN
The post Remaja 19 tahun tak mengaku langgar lelaki dengan kereta appeared first on Utusan Malaysia.






