Remaja hilang di sungai ditemukan lemas

20 Nov 2026 • 7:57 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Remaja hilang di sungai ditemukan lemas
Jenazah Muhammad Azim Danial (gambar kecil) dibawa ke bilik mayat HRPZ II.

KOTA BHARU – Selepas lebih dua jam operasi mencari dan menyelamat, jasad remaja lelaki yang lemas di Kampung Pulau Belacan, di sini ditemukan tertiarap di dasar sungai pada kedalaman 4.57 meter, malam Khamis.

Mayat Muhammad Azim Danial Abdul Hadi, 13, ditemukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 8.12 malam selepas melakukan tiga kali selaman di lokasi kejadian.

Jasad mangsa dibawa naik ke tebing sebelum diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi tindakan lanjut.

Mangsa dipercayai lemas selepas pergi ke bahagian tengah sungai ketika mandi bersama lima rakannya yang turut keluar untuk mencari lala.

Mangsa yang tidak pandai berenang itu dipercayai dihanyutkan arus dan tenggelam.

Rakan-rakannya yang menyedari kejadian itu cuba membantu, namun gagal menyelamatkannya.

Ibu mangsa, Nik Nur Atikah Abdullah, 32, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu keluar rumah kira-kira jam 5 petang bersama lima rakan dengan menunggang motosikal.

“Dia tak pernah ke sungai ini dan tidak pandai berenang.

“Saya diberitahu anak saya datang mandi dan mencari lala,” katanya.

Katanya, dia kemudian menerima panggilan daripada suami yang memaklumkan anaknya lemas sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi BBP Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Shamsudin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.41 petang.

Menurut beliau, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera telah ke lokasi.

"Kami tiba di lokasi kejadian pada jam 5.50 petang, kira-kira tiga kilometer dari balai.

"Operasi mencari dan menyelamat dilakukan walau berdepan cabaran keadaan cuaca gelap," katanya.

Jenazah mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemumin selepas selesai proses bedah siasat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved