Remaja lalok dadah tikam adik ipar tiga kali ketika tidur

18 Sep 2026 • 11:47 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Remaja lalok dadah tikam adik ipar tiga kali ketika tidur

BATU PAHAT – Seorang remaja lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak di luar kawalan apabila menikam adik iparnya sebanyak tiga kali ketika mangsa sedang tidur di sebuah rumah di Taman Desa Sri Banang, Minyak Beku, di sini, semalam.

Akibat kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun mengalami kecederaan parah termasuk tikaman di bahagian belakang dan paru-paru.

Suspek berusia 17 tahun yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai menjual barangan terpakai itu hari ini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Mustaqim Sukarno di Mahkamah Majistret di sini.

Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai menggunakan sebilah pisau sepanjang kira-kira 14.5 sentimeter untuk menikam mangsa di bahagian dada dan belakang.

Difahamkan, sehari sebelum kejadian, mangsa dan isterinya yang juga adik suspek berusia 14 tahun terbabit dalam pertengkaran kira-kira pukul 5 petang.

Pertengkaran itu turut disaksikan suspek, namun dia dikatakan tidak masuk campur dan hanya berdiam diri.

Suspek kemudian pulang ke Rengit pada malam kejadian sebelum kembali semula ke rumah yang didiami mangsa tanpa disedari ahli keluarga lain.

Sebaik tiba di rumah, suspek dikatakan menendang mangsa yang sedang nyenyak tidur sebelum lelaki itu tersedar dan terus ditikam sebanyak tiga kali.

Kejadian itu bagaimanapun tidak disedari ahli keluarga lain yang sedang tidur di dalam rumah berkenaan.

Selepas melakukan perbuatan itu, suspek melarikan diri dari lokasi kejadian, manakala mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) oleh ibu mentuanya.

Pihak hospital kemudiannya membuat laporan polis selepas menerima mangsa dalam keadaan cedera parah dengan kesan tikaman pada badan pada pagi yang sama.

Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan suspek kira-kira pukul 12.30 tengah hari di sebuah kedai menjual barangan terpakai.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurut beliau, mangsa masih menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau benda berbahaya,” katanya.

Polis juga masih menunggu laporan lanjut mengenai keadaan mangsa bagi membolehkan keterangan daripadanya direkodkan bagi membantu melengkapkan siasatan.-KOSMO! ONLINE

The post Remaja lalok dadah tikam adik ipar tiga kali ketika tidur appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved