Remaja lelaki 14 tahun maut nahas enam kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan

12 Oct 2025 • 2:47 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BATU PAHAT: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut dalam kemalangan yang melibatkan enam kenderaan di Kilometer 75.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan di Ayer Hitam di sini pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata Muhammad Ammar Zafran Khairul Nizam yang membonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau menyatakan mangsa mengalami cedera parah pada bahagian kepala, tangan dan kaki akibat nahas tersebut.

Kejadian yang membabitkan sebuah bas, sebuah kereta, sebuah van dan tiga buah motosikal itu berlaku pada pukul 2.30 pagi.

“Kemalangan awal melibatkan tiga motosikal menyebabkan penunggang dan pembonceng sebuah motosikal tercampak dan jatuh di jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian tersebut kemudiannya mengakibatkan kemalangan susulan membabitkan sebuah bas, kereta serta van yang tidak sempat mengelak.

Kemalangan itu juga menyebabkan penunggang motosikal sama iaitu remaja lelaki berusia 16 tahun mengalami kecederaan pada tangan dan kaki.

Beliau berkata kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama