Remaja lelaki di Tawau dilepas dengan amaran: Memuat naik gambar pelajar di media sosial dengan ugutan

27 Nov 2026 • 2:44 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Remaja lelaki di Tawau dilepas dengan amaran: Memuat naik gambar pelajar di media sosial dengan ugutan

TAWAU: Seorang remaja lelaki berumur 18 tahun diberi amaran dan dilepaskan oleh Mahkamah Kanak-Kanak di sini, pada Khamis, selepas mengaku bersalah memuat naik gambar seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun di media sosial berserta kapsyen berunsur ugutan dan buli.

Ia merupakan kes buli siber pertama dibawa ke mahkamah di daerah ini.

Majistret Don Stiwin Malanjum membuat keputusan itu selepas mahkamah mengambil kira syor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak pendakwaan dan sikap tertuduh yang menginsafi perbuatannya serta sudah memohon maaf secara peribadi kepada mangsa.

Mahkamah turut mengambil kira pengakuan tertuduh bahawa dia menyesali perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama, selain mahu memberikan tumpuan kepada pelajarannya.

Anak sulung daripada lima beradik itu, kemudiannya diperintahkan diberi amaran dan dilepaskan mengikut Seksyen 91(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).

Mahkamah juga memerintahkan wang jaminan RM500 dikembalikan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berumur 17 tahun ketika kejadian, didakwa memuat naik gambar mangsa tanpa mengetahui atau mempunyai alasan untuk mengetahui bahawa penerbitan, pengedaran atau penyediaan maklumat identiti berkenaan berkemungkinan menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan kepada mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Restoran Kam Ling, sekitar jam 12 tengah hari pada 17 April tahun ini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507E Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa menerima mesej WhatsApp daripada rakannya yang menghantar tangkap layar skrin memaparkan gambar anaknya yang memuatnaik status dalam aplikasi Instagram, namun ditambah dengan beberapa kapsyen berunsur tuduhan buli dan ugutan.

Hasil siasatan mendapati tertuduh yang merupakan pelajar Tingkatan Enam sebuah sekolah di Tawau, bertindak memuat naik gambar mangsa selepas membaca perbualan dalam kumpulan WhatsApp yang mengatakan bahawa adik sepupu seorang rakannya didakwa dibuli oleh mangsa dan seorang lagi individu.

Tertuduh mengakui terikut emosi sebelum mendapatkan gambar mangsa dan memuat naik ke media sosial menggunakan akaun miliknya bersama kapsyen berunsur ugutan dan buli tersebut.

Terdahulu, dalam syor JKM, pendekatan memberi amaran dan melepaskan tertuduh disifatkan bersesuaian demi kepentingan terbaik kanak-kanak (the best interest of the child), selain bertujuan memberi pengajaran, kesedaran dan peringatan supaya kesalahan sama tidak berulang.

Pendakwaan dikendalikan ASP Jeffrey Kadison.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved