sarah27/11/2026 - 16:53 Penumpang ECRL menaiki tren di Stesen ECRL Kuala Terengganu. - Gambar/ KAMALIZA KAMARUDDIN Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN editor@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 27 Nov - Ada yang sudah merancang untuk ke Kuala Lumpur bagi menyelesaikan urusan kerja dalam tempoh sehari, ada yang tidak sabar mahu mengembara sendirian, malah tidak kurang juga yang membayangkan perjalanan singkat ke ibu negara sekadar untuk berehat dan menenangkan fikiran.
Itulah antara keterujaan penduduk Terengganu terhadap Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menyediakan pilihan pengangkutan baharu menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang.
Bagi penduduk Terengganu, ECRL bukan sekadar sebuah perkhidmatan tren, sebaliknya peluang untuk mengubah cara mereka merancang perjalanan, sama ada atas urusan kerja, percutian mahupun keperluan peribadi.
Antara perkara yang paling menarik perhatian mereka ialah harga tiket yang lebih murah dari penerbangan untuk membolehkan mereka berulang-alik ke Kuala Lumpur tanpa perlu mengeluarkan belanja perjalanan yang terlalu tinggi.
Pekerja swasta, Mohd Zamri Abd Ghani berkata penjimatan tambang pastinya menjadi kelebihan kerana wang yang sebelum ini diperuntukkan untuk perjalanan boleh digunakan bagi keperluan lain.

Mahu perjalanan yang menepati masa
"Selain harga tiket, satu lagi perkara yang paling penting ialah ialah ketepatan masa perjalanan tanpa sebarang kelewatan masa yang sering berlaku seperti penerbangan.
"Macam tadi dalam jadual 8.07 pagi dan memang tepat waktunya, tren pun sampai.
"Saya berharap ECRL dapat menyediakan perkhidmatan yang mengikut jadual kerana perkara paling penting bagi penumpang ialah mengetahui waktu bertolak dan tiba supaya perjalanan dapat dirancang dengan lebih teratur," katanya kepada DagangNews.
Berbanding penerbangan yang kadangkala berdepan kelewatan, perkhidmatan tren yang menepati jadual memberikan lebih keyakinan kepada penumpang untuk menyusun urusan harian, khususnya mereka yang mempunyai komitmen pada waktu tertentu.
Bagi golongan bekerja, perkara itu cukup penting kerana kelewatan perjalanan boleh menyebabkan mesyuarat, temu janji atau urusan perniagaan yang dirancang terpaksa ditangguhkan.
Ke Kuala Lumpur bukan lagi semata-mata untuk urusan penting
Menariknya, keterujaan terhadap ECRL bukan hanya melibatkan mereka yang mempunyai urusan rasmi di Kuala Lumpur.
Golongan yang gemar mengembara sendirian juga melihat perkhidmatan itu sebagai peluang untuk meneroka destinasi baharu tanpa perlu menunggu kelapangan rakan atau ahli keluarga.
Penduduk Hulu Terengganu, Mastura Jamaldin berkata mereka boleh merancang perjalanan sendiri, memilih destinasi yang ingin dikunjungi dan menikmati masa lapang mengikut keselesaan masing-masing.
"Malah, bagi mereka yang penat dengan kesibukan kerja dan rutin harian, perjalanan ke Kuala Lumpur atau destinasi lain yang dihubungkan ECRL boleh menjadi peluang untuk berehat seketika, menikmati suasana berbeza dan menenangkan fikiran.
"Aktiviti sebegitu mungkin kelihatan ringkas, tetapi kemudahan pengangkutan yang lebih mudah boleh menjadikan perjalanan singkat lebih praktikal, terutama bagi golongan yang tidak mahu menghabiskan masa terlalu lama di jalan raya," katanya.
Mesyuarat sehari, tak semestinya perlu bermalam
Dalam kalangan golongan profesional dan pekerja yang mempunyai urusan di Lembah Klang, ECRL turut dilihat mampu memudahkan perjalanan pergi dan balik dalam hari yang sama.
Sebagai contoh, mereka yang mempunyai mesyuarat pada waktu pagi atau tengah hari di Kuala Lumpur boleh merancang perjalanan lebih awal, menyelesaikan urusan berkenaan dan kembali ke Terengganu sekiranya jadual perkhidmatan mengizinkan.
Keadaan itu berpotensi mengurangkan keperluan untuk bermalam di ibu negara, sekali gus membantu menjimatkan perbelanjaan penginapan, makanan dan pengangkutan tempatan.
Bagi golongan yang menjalankan urusan perniagaan, kemudahan tersebut juga memberi lebih banyak ruang untuk mengadakan perjumpaan dengan pelanggan, pembekal atau rakan perniagaan tanpa perlu memperuntukkan masa perjalanan yang terlalu panjang.
Malah, mereka yang mempunyai beberapa urusan di Kuala Lumpur dalam satu hari boleh menyusun jadual dengan lebih baik, berbanding perlu membuat perjalanan berasingan untuk setiap urusan.
ECRL bawa harapan baharu kepada penduduk Pantai Timur
Keterujaan penduduk Terengganu ini memperlihatkan bahawa kemudahan pengangkutan bukan hanya dinilai berdasarkan jarak dan tempoh perjalanan, tetapi juga sejauh mana ia memudahkan kehidupan seharian.
Bagi sesetengah orang, ECRL mungkin menjadi pengangkutan pilihan untuk pulang ke kampung atau bercuti bersama keluarga, manakala bagi yang lain, ia boleh menjadi kemudahan untuk memenuhi tuntutan pekerjaan dan urusan peribadi.
Apa yang jelas, penduduk bukan sekadar menantikan tren pertama bergerak, tetapi turut mengharapkan perkhidmatan yang menawarkan tambang berpatutan, perjalanan selesa dan paling penting, menepati jadual.
Jika harapan itu dapat dipenuhi, ECRL bukan sahaja menghubungkan Terengganu dengan Kuala Lumpur, malah berupaya membuka lebih banyak pilihan kepada penduduk Pantai Timur untuk bekerja, melancong dan menikmati kehidupan dengan lebih fleksibel.
Bagi bakal penumpang, mereka sudah mempunyai pelbagai rancangan. Kini, yang dinantikan hanyalah peluang untuk merealisasikannya apabila ECRL mula beroperasi pada 12 Disember nanti. - DagangNews.com






